Dua pegawai kanan diraikan

Dua pegawai kanan diraikan

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 Nov – Jabatan Mufti Kerajaan telah meraikan dua orang pegawai kanannya yang baru sahaja dinaikkan pangkat dalam majlis yang berlangsung di Jabatan Mufti Kerajaan, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Dr. Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned, dan turut dihadiri oleh para pegawai dan kakitangan jabatan tersebut.

Atas titah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Paduka Setia Raja Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Suhaili bin Haji Mohiddin telah dinaikkan pangkat sebagai Hakim Mahkamah Rayuan Syariah dan Dr. Haji Japar bin Haji Mat Dain @ Maidin sebagai Timbalan Mufti, Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam yang berkuat kuasa 1 September 2015 lalu.

Mufti Kerajaan (tengah) bergambar bersama dua pegawai kanan yang baru dinaikkan pangkat.
Mufti Kerajaan (tengah) bergambar bersama dua pegawai kanan yang baru dinaikkan pangkat.

Menurut kenyataan Jabatan Mufti Kerajaan, Yang Dimuliakan Pehin Haji Awang Suhaili merupakan mantan Timbalan Mufti Kerajaan yang mana jawatan itu dipegangnya sejak 1 September 1994, dan sebelum itu pernah menjawat jawatan Pegawai Agama, Jabatan Hal Ehwal Ugama, Pegawai Ugama Kanan, Setiausaha Majlis Ugama Islam, Penolong Pengarah Hal Ehwal Syariah serta Pengarah Hal Ehwal Syariah, Kementerian Hal Ehwal Agama (KHEU).

Manakala itu, Dr. Haji Japar pula pernah memegang jawatan sebagai Pegawai Ugama di KHEU, Pegawai Ugama Kanan, sebagai Kadi Daerah Brunei dan Muara, Pegawai Ugama Kanan di Jabatan Mufti Kerajaan sebagai Pegawai Istinbat Kanan seterusnya sebagai Ketua Pegawai istinbat sejak 1 Januari 2002.

Mufti Kerajaan dalam ucapannya berkata, mereka yang dilantik akan dapat memberikan yang terbaik dan dapat mencapai hasrat jabatan untuk menjadi yang lebih baik.

ARTIKEL YANG SAMA