Dua pekerja asing ditahan

Dua pekerja asing ditahan

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 13 Julai – Dua orang lelaki pekerja asing telah ditahan dan dikeluarkan Pas Khas atas kesalahan Akta Imigresen dan telah diarahkan untuk hadir ke pejabat imigresen untuk siasatan lanjut.

Kedua-dua lelaki terbabit ditahan melalui pemeriksaan operasi sepadu melibatkan penyertaan lima agensi penguatkuasaan undang-undang iaitu Daerah Polis Belait, Biro Kawalan Narkotik, Jabatan Imigresen Kuala Belait, Jabatan Kastam dan Eksais Diraja Kuala Belait dan Bahagian Penguatkuasaan Agama, Kementerian Hal Ehwal Ugama cawangan Daerah Belait, yang diadakan malam tadi bersempena Sambutan Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-70 tahun.

Operasi tersebut telah memfokuskan pemeriksaan ke atas rumah-rumah sewa tempat tinggal pekerja asing di kawasan Kampung Lumut, Kampung Sungai Liang dan Seria serta Belait. Operasi berkenaan telah melibatkan penyertaan lebih 20 orang anggota Daerah Polis Belait termasuk enam orang pegawai, lima orang anggota Balai Polis Kuala Belait, empat orang anggota Balai Polis Seria, tiga anggota Balai Polis Sungai Liang, tujuh anggota CID Ibu Pejabat Polis di Panaga dan anggota Unit Perhubungan Awam Polis Panaga.

pg06_160714_c

Pemeriksaan ke atas rumah sewa pekerja warga asing, dilakukan semasa diadakan Operasi Sepadu malam kelmarin.
Pemeriksaan ke atas rumah sewa pekerja warga asing, dilakukan semasa diadakan Operasi Sepadu malam kelmarin.

Di samping itu, lima orang adalah dari Biro Kawalan Narkotik Kuala Belait, sembilan dari Jabatan Imigresen Kuala Belait, dua dari Jabatan Kastam dan Eksais Diraja Kuala Belait dan enam orang lagi dari Bahagian Penguatkuasaan Agama, Jabatan Hal Ehwal Ugama Belait.

Operasi yang diketahui oleh penolong pegawai siasatan jenayah Daerah Polis Belait itu mengambil masa kira-kira tiga jam dari pukul 10 malam hingga kira-kira 1 pagi tadi.