Dua peluru berpandu dikesan

Dua peluru berpandu dikesan

DUBAI, 10 Okt – Dua peluru berpandu yang dilepaskan dari wilayah yang dikuasai pemberontak di Yaman gagal mengenai kapal perang Amerika Syarikat (AS) yang menjalankan rondaan di Laut Merah di perairan pantai negara yang dicengkam peperangan itu, menurut tentera laut AS hari ini.

Kapal USS Mason ‘telah mengesan dua peluru berpandu yang datang’ dalam tempoh satu jam antara satu sama lain dari kira-kira 7 malam semalam, menurut jurucakap wanita Kawalan Pusat Pasukan Tentera Laut AS, Paula Dunn.

Kapal pemusnah itu telah ‘menjalankan operasi rutin di perairan antarabangsa’ pada ketika itu, menurutnya dalam satu kenyataan.

“Kedua-dua peluru berpandu meletup dalam air sebelum sampai ke kapal tersebut,” kata Dunn, dengan menambah kata ‘tidak ada kecederaan dialami oleh kelasi kami dan tidak ada kerosakan pada kapal”.

“Kami menaksir bahawa peluru berpandu ini dilancarkan dari wilayah yang dikuasai Huthi di Yaman,” katanya, dengan merujuk para pemberontak yang disokong Iran yang memerangi kerajaan Yaman yang diiktiraf antarabangsa.

Gambar fail yang diambil pada 12 Mac 2011 menunjukkan kapal pemusnah AS, USS Mason berlayar di terusan Suez di Ismailia, Mesir. Dua peluru berpandu telah ditembakkan dari wilayah yang ditawan pemberontak di Yaman, mendarat dekat dengan kapal pemusnah Amerika, menurut Tentera Laut AS pada 10 Oktober 2016. – AP
Gambar fail yang diambil pada 12 Mac 2011 menunjukkan kapal pemusnah AS, USS Mason berlayar di terusan Suez di Ismailia, Mesir. Dua peluru berpandu telah ditembakkan dari wilayah yang ditawan pemberontak di Yaman, mendarat dekat dengan kapal pemusnah Amerika, menurut Tentera Laut AS pada 10 Oktober 2016. – AP

Huthi menggelar laporan mereka menembakkan peluru berpandu ke kapal pemusnah AS itu sebagai ‘tidak berasas’.

Pasukan pemberontak “tidak menyasarkan mana-mana kapal perang”, kata jurucakap dipetik oleh laman web pemberontak, sabanews.net.

Juga hari ini, kumpulan bersekutu Arab yang memerangi Huthi menuduh pemberontak-pemberontak melepaskan peluru balistik ke arah Taif, bandar barat daya Saudi.

Peluru berpandu itu adalah salah satu dari dua peluru berpandu yang telah dipintas semalam oleh pasukan bersekutu yang diketuai Saudi, menurut pasukan bersekutu itu, dengan menambah kata yang lain telah dilancarkan ke arah Marib, timur bandar Sanaa yang dikuasai pemberontak Yaman.

Kejadian-kejadian itu berlaku selepas Emiriah Arab Bersatu (UAE) berkata pada Rabu lalu bahawa para pemberontak Yaman telah menyerang kapal ‘awam’ di laluan air strategik Bab al-Mandab, mencederakan anggota kru. Pemberontak-pemberontak Syiah mengaku telah melancarkan serangan itu yang dilakukan pada 1 Oktober lalu.

UAE adalah anggota utama pasukan bersekutu yang diketuai Saudi yang telah memerangi pemberontak-pemberontak Yaman sejak Mac tahun lalu.

Kapal perang pasukan bersekutu telah mengenakan sekatan laut ke atas pelabuhan-pelabuhan yang dikuasai pemberontak di sepanjang pantai Laut Merah dengan hanya membenarkan penghantaran bantuan yang dibenarkan PBB.

Dalam kenyataannya hari ini, pasukan tentera laut AS berkata AS masih ‘komited untuk memastikan kebebasan pengemudian di mana-mana di dunia.”

Jurucakapnya dipetik sebagai berkata bahawa “Kami akan terus mengambil langkah perlu untuk memastikan keselamatan kapal-kapal kami dan anggota perkhidmatan kami.” – AFP