Dua pemain junior S’wak sertai Kejohanan Golf Remaja di AS

Dua pemain junior S’wak sertai Kejohanan Golf Remaja di AS

KUCHING, 13 Julai (Bernama) – Dua pemain junior Sarawak, Anson Yeo dan Lim Beng Kiat, akan menyertai Kejohanan Golf Remaja Dunia 2015 di Pinehurst Resort, Carolina Utara, Amerika Syarikat dari 23 hingga 25 Julai.

Mereka dijangka bersaing dengan kira-kira 500 pemain lain dari seluruh dunia pada kejohanan berprestij anjuran US Kids Golf itu.

Pada 2014, Yeo, 9, dari Kuching, melakar sejarah sebagai pemain termuda dari negeri ini yang menyertai Kejohanan Golf Kanak-kanak Sedunia pusingan Malaysia.

Lim, 15, yang berasal dari bandaraya Miri pula pernah memenangi kejohanan sama bagi kategori usia 13-14 tahun di Le Grendeur Golf Resort, Johor Baharu.

Presiden Persatuan Golf Sarawak (SGA) Hoan Kee Hock berkata dua pemain itu sewajarnya mendapat sokongan dan pengiktirafan daripada penggemar sukan golf tempatan kerana kejayaan mereka mempamerkan kebolehan luar biasa pemain muda dari negeri ini.

Sementara itu, Yeo dan Lim hari ini menerima penajaan daripada Sarawak melalui Menteri Pembangunan Sosial Tan Sri William Mawan Ikom untuk bertanding pada kejohanan itu.

Pada majlis yang diadakan di pejabatnya itu, Mawan turut menyampaikan geran kerajaan berjumlah RM130,000 kepada empat persatuan. Yeo mula bermain golf ketika berusia enam tahun, manakala Lim pada usia tujuh tahun.

Kedua-dua pemain pernah beradu kehebatan dengan pemain luar negara pada Kejohanan Golf Remaja Piala Ketua Menteri Sarawak yang diadakan di Kuching.