Dua penalti bantu West Ham atasi Watford

Dua penalti bantu West Ham atasi Watford

LONDON, 21 April – Mark Noble menyempurnakan dua sepakan penalti untuk membantu West Ham United menewaskan barisan kedua Watford 3-1 dan mencerahkan harapan mereka untuk aksi di Eropah apabila mereka berpindah ke Stadium Olimpik musim hadapan.

Kapten The Hammers itu meledak pada setiap babak dengan penjaga gol Watford, Heurelho Gomes gagal mengulangi aksi cemerlangnya minggu lalu yang menyaksikan dia menyelamatkan dua sepakan penalti di West Bromwich Albion.

Penyerang, Andy Caroll membuka jaringan untuk gol kesembilannya musim ini pada minit ke-11 selepas menyudahkan hantaran lintang Dmitry Payet. Sebastian Proedl kemudiannya merapatkan defisit buat pelawat menerusi sepakan percuma pada minit ke-64.

Watford yang bakal bertemu Crystal Palace pada aksi separuh akhir Piala FA hujung minggu ini sepatutnya memperoleh gol kedua namun sepakan penalti pemain gantian, Troy Deeney pada minit ke-90 berjaya diselamatkan.

Payet sekali lagi menjadi tonggak buat West Ham United dengan Caroll dan penyerang Senegal, Diafra Sakho sering mendatangkan masalah kepada barisan pertahanan Watford membolehkan tuan rumah merakam kemenangan yang meyakinkan.

“Saya begitu berpuas hati kerana kami memperagakan corak permainan yang baik. Kami menguasai sejak awal permainan dan sememangnya kami layak untuk menang,” kata pengurus West Ham United, Slaven Bilic.

“Masih ada yang perlu diperjuangkan dan kami tidak akan berhenti sehinggalah ke penghujungnya.” – AP

ARTIKEL YANG SAMA