Dua pencuri terima padah

Dua pencuri terima padah

Oleh Rafidah Jumat

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 Ogos – Dua lelaki tempatan dijatuhi hukuman penjara oleh Mahkamah Majistret, hari ini, atas kesalahan mencuri.

Pemangku Majistret Kanan, Hajah Ervy Sufitriana binti Haji Abdul Rahman menjatuhkan hukuman 12 bulan penjara ke atas M.S. Maszulkarnain bin Mohd Saini, 34, dan 10 bulan penjara terhadap Mohd Ali Shuada bin Azari, 35, berkuat kuasa 1 Ogos 2015 iaitu tarikh kedua-duanya mengaku bersalah dan ditahan reman.

Kedua-dua tertuduh bersama seorang lagi rakan mereka didakwa mencuri tiga buah televisyen; beg plastik mengandungi beberapa helai pakaian dan kasut; komputer riba Dell; kotak Maxspid; kotak steerlite mengandungi pelbagai barangan termasuk pakaian; kotak besar mengandungi pelbagai barangan kecil; dua keping karpet; sebuah komputer bimbit kecil jenama Jornada Window Hewlett Packett; lampu dan kipas kecemasan Nushi; alat sistem air Hi-Energy; beg diplomat; kotak peralatan Malroy; beg Thomas & Friend; kontena jenama Cornerstone; Airbed; plastik jernih mengandungi bahan peralatan; khemah; tilam; bakul mengandungi barang peralatan; kontena mengandungi pakaian; pistol Nerf; kereta kawalan bermuzik; tabir dan kereta mainan Carrera.

pg06_150705_mahkamah logo

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu pada 29 Julai 2015 sekitar pukul 11:30 malam di sebuah rumah di Kampung Sungai Kayu Ara, Jalan Kecil Sungai Tali Lumut, Belait.

Menurut fakta kes, kedua-dua tertuduh dan rakan mereka memasuki kawasan rumah itu dengan menaiki pagar, dan memasuki rumah itu melalui pintu belakang yang tidak berkunci.

Selepas membawa pergi sebahagian daripada barang yang dicuri itu dengan menggunakan Toyota Kijang, tertuduh kemudian kembali semula ke rumah tersebut untuk membawa lagi baki barang-barang yang ditinggalkan.

Kereta tertuduh bagaimanapun rosak di kawasan berdekatan rumah yang dipecah masuk itu.

Menyedari kereta Toyota Kijang di kawasan terbabit, seorang jiran telah menghubungi talian kecemasan polis 993.

Pemangku Majistret Kanan turut memerintahkan untuk kesemua barang yang dicuri itu dikembalikan kepada pemiliknya.

ARTIKEL YANG SAMA