Dua pencuri terima padah

Dua pencuri terima padah

Oleh Rafidah Jumat

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 Julai – Dua lelaki tempatan telah dijatuhi hukuman penjara oleh Mahkamah Majistret, hari ini, selepas mereka mengaku bersalah atas pertuduhan mencuri.

Majistret Hajah Noor Amalina binti DP Haji Alaihuddin menjatuhkan hukuman penjara 24 bulan ke atas Mohammad Abdul Syukri bin Abdul Rahim berusia 18 tahun dan 32 bulan penjara ke atas Mohammad Noorshari bin Mohammad Noh, 23.

Timbalan Pendakwa Raya Dayangku Hazirah binti Pengiran Yusof dalam fakta kes menyebut, kedua-dua tertuduh bersama dua lagi pesalah juvenil telah memecah masuk tiga buah rumah di Jalan Parak RPN Kampung Panaga, Seria antara jam 1 dan 3 pagi pada 22 Jun 2015, Simpang 18 Jalan Puragam RPN Kampung Panaga antara 12 tengah malam dan 3 pagi pada 24 Jun 2015 dan di Simpang 34 Jalan Puragam RPN Kampung Panaga, juga antara 12 tengah malam dan 3 pagi pada 24 Jun 2015.

Kesemua mereka telah mencuri Samsung Tab 2, Nintendo DSi, cakera padat, pembesar suara mini mudah alih, komputer riba, konsol PS4, kamera PS4, set alat dengar dan wang berjumlah $1,620.

Mohammad Noorshari turut didakwa memecah masuk sebuah rumah di Simpang 50 Jalan Parak RPN Kampung Panaga pada 21 Jun 2015, dan mencuri telefon pintar Sony Xperia dan beg saku yang mengandungi dompet dan tiga pen drive.

ARTIKEL YANG SAMA