Dua penerbangan ke dan dari Pontianak dibatal akibat jerebu

Dua penerbangan ke dan dari Pontianak dibatal akibat jerebu

KUCHING, 24 Sept (Bernama) – Dua penerbangan, masing-masing satu pelepasan ke Pontianak dan satu ketibaan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) dibatalkan akibat jerebu tebal di Kalimantan Barat.

Menurut Pengurus Kanan LTAK, Mohd Nadzim Hashim, sehingga pukul 5 petang ini, hanya dua penerbangan itu yang dibatalkan iaitu membabitkan 34 penumpang dari Pontianak ke Kuching dan 35 orang dari LTAK ke Pontianak.

“Selain itu, tiada pelepasan atau ketibaan penerbangan dilewatkan dan jarak ketampakan ialah 2,000 meter,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi.

Sementara itu, laman sesawang Jabatan Alam Sekitar melaporkan sehingga pukul 4 petang tadi, Indeks Pencemaran Udara (IPU) di seluruh negeri Sarawak berada pada tahap sederhana.

Samarahan mencatat IPU tertinggi iaitu 92, Sarikei (87), Kuching (85) dan Sibu (74).