Dua pengadil AFC digantung

Dua pengadil AFC digantung

BANGKOK, 3 April (Bernama) – Persekutuan Bola Sepak Asia (AFC) menggantung dua pengadil Thai sementara menunggu siasatan berhubung dakwaan mengatur perlawanan.

Media tempatan mengenal pasti dua pengadil terbabit sebagai Thanom Borikut dan Chaiya Mahapab, dengan kedua-dua digantung buat sementara oleh jawatankuasa disiplin AFC, selama 60 hari.

“Permohonan telah dibuat kepada FIFA (Persekutuan Bolasepak Antarabangsa), untuk membolehkan larangan itu diperluaskan di seluruh dunia.

AFC mempunyai toleransi sifar terhadap manipulasi perlawanan,” kata laporan media tempatan hari ini yang memetik kenyataan AFC.

Sebelum ini, kedua-dua pengadil diharamkan oleh Persatuan Bola Sepak Thailand (FAT) berikutan ada gesaan yang mempersoalkan tindakan mereka semasa perlawanan bola sepak.

Menurut media tempatan, Thanom adalah pembantu pengadil FIFA dan dijangka dipilih sebagai seorang daripada pegawai untuk merasmikan Piala Dunia 2010 tetapi setahun sebelum acara berprestij itu, terbabit dengan kes jenayah.

Dia ditangkap kerana didakwa membunuh bosnya di Saraburi manakala beberapa tahun lalu turut cedera parah selepas ditembak lelaki bersenjata.

ARTIKEL YANG SAMA