Dua pengebom warga M’sia laksana misi di Syria

Dua pengebom warga M’sia laksana misi di Syria

KUALA LUMPUR, 11 Jan – Dua warga Malaysia yang bertindak sebagai ‘pengebom nekad’ telah meletupkan diri mereka sekaligus membunuh lebih 30 orang semasa melaksanakan misi mereka di Syria dan Iraq minggu lalu, lapor akhbar The New Straits Times (NST) hari ini.

Akhbar itu menyatakan, ia mendapat tahu bahawa seorang warga Malaysia kelahiran Terengganu, Mohd Amirul Ahmad Rahim, 26, telah meletupkan bom yang dipasang di badannya sewaktu dalam kereta semasa berlaku pertempuran di kubu Negara Islam (IS) di Raqqa, Syria, pada 29 Disember lalu.

Sumber-sumber memberitahu NST bahawa Amirul, telah meninggalkan keluarganya di Malaysia dan menuju ke Syria pada Oktober 2014 untuk menganggotai IS.

Amirul, yang menggunakan nama ‘Abu Uqashah Malizi’, meninggal dunia pada hari IS melancarkan serangan ke atas angkatan tentera bersekutu ke-44 Syria, berdekatan Ain Issa, yang menyaksikan 21 pejuang Kurdi terkorban.

Anggota IS dari Malaysia yang berkhidmat di Syria dan Iraq selalunya menggunakan istilah ‘Malizi’ di hujung nama ganti mereka.

Amirul merupakan diantara 16 pejuang IS yang terbunuh dalam pertempuran dengan pasukan Arab dan Kurdi semasa serangan ke atas tentera perikatan itu, yang dibentuk oleh Unit Perlindungan Rakyat Kurdi (YPG) dan pejuang Arab.

Kematian Amirul berlaku lima hari sebelum seorang lagi warga Malaysia meletupkan dirinya di Tikrit, Iraq.

Difahamkan, warga Malaysia yang dikenali sebagai, Mohamad Syazwan Mohd Salim, telah menjalankan misinya pada malam 3 Januari lalu.

Dia merupakan salah seorang daripada tujuh pengebom nekad yang pergi ke sebuah pusat latihan polis di pangkalan tentera Speicher, kira-kira 160km, utara Baghdad.

ARTIKEL YANG SAMA