Dua pengusaha tempatan hadiri GES di California

Dua pengusaha tempatan hadiri GES di California

Oleh Pg Fairol RMF

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 Jun – Dua orang pengusaha tempatan telah dijemput bagi menghadiri Sidang Kemuncak Keusahawanan Global (GES) yang akan diadakan pada 22 hingga 24 Jun 2016 di Palo Alto, California.

Kedutaan Besar Amerika Syarikat di Brunei Darussalam, dalam kenyataannya memaklumkan perkara ini berkata, semasa di Lembah Silikon itu nanti, Hiro Tien dan Sophia Siu akan menyertai lebih 700 orang pengusaha dari seluruh dunia termasuk pelabur, penceramah dan pemimpin serta peneraju dalam dunia keusahawanan.

Hiro Tien merupakan pengasas Escape Square iaitu permainan ‘escape room’ pertama yang dibina Brunei yang membolehkan orang ramai memainkan peranan sebagai penyiasat London menyelesaikan misteri-misteri dalam tahun 1900-an.

Manakala itu, Sophia Siu pula merupakan pengasas Evesta, iaitu aplikasi acara sosial yang menghubungkan orang yang berfikiran sama untuk membangunkan komuniti-komuniti lebih kukuh di seluruh dunia.

Sidang kemuncak itu nanti juga akan disertai oleh pegawai-pegawai tertinggi Amerika Syarikat termasuk Presiden Barack Obama; Setiausaha Perdagangan, Penny Pritzker; Ketua Pentadbiran Perniagaan Kecil, Maria Co9ntreras-Sweey dan Pentadbir USAID, Gayle Smith.

Sidang kemuncak kali ini merupakan siri ke-7, yang mana GES sebelumnya telah dihoskan oleh Amerika Syarikat dan kerajaan Turki, Amiriah Arab Bersatu, Malaysia, Maghribi dan Kenya.

Menurut kenyataan itu lagi, Presiden Obama telah menekankan komitmennya dalam sama-sama menangani cabaran global bersama.

ARTIKEL YANG SAMA