Dua penyeludup dijatuhi denda

Dua penyeludup dijatuhi denda

Oleh Rafidah Jumat

 

pg06_161019_mahkamah-logo2BANDAR SERI BEGAWAN, 18 Okt – Seorang wanita tempatan dijatuhi denda $7,000 oleh Mahkamah Majistret, hari ini, atas kesalahan memiliki rokok dan minuman keras tanpa permit.

Norsulimah binti Abdullah, 47, mengaku bersalah kerana memiliki 20 karton rokok dan tiga botol minuman keras di dalam kereta yang dipandunya pada 7 September 2016.

Dia ditahan pegawai kastam di Pos Kawalan Kuala Lurah yang mana pemeriksaan menemui rokok-rokok disembunyikan di bahagian letak kaki pemandu, di bawah tempat duduk penumpang depan dan belakang dan di bahagian letak kaki penumpang belakang.

Pegawai kastam bertugas turut menemui tiga botol minuman keras dalam petak tayar ganti.

Pegawai Pendakwa Kastam memberitahu mahkamah bahawa defendan telah mengelak daripada membayar cukai $1,000 bagi rokok-rokok yang dibawanya masuk manakala cukai yang seharusnya dibayar untuk minuman keras pula adalah $33.

Majistret Dewi Norlelawati binti Haji Abdul Hamid memberi tempoh sehingga 29 Jun 2017 untuk defendan membayar denda itu dan jika gagal, akan berdepan empat bulan penjara.

Dalam bilik mahkamah yang sama, seorang lelaki Malaysia turut dijatuhi denda $1,800 selepas mengaku bersalah memiliki enam karton rokok.

Stanley Utong Anak Kiding, 24, didakwa memiliki rokok-rokok itu dalam kereta ketika ditahan di Pos Kawalan Sungai Tujoh, pada 17 Oktober 2016.

Pegawai Kastam bertugas menemui rokok-rokok itu disimpan di bawah tempat duduk penumpang depan.

Cukai yang seharusnya dibayar untuk membawa masuk rokok-rokok itu ialah $300.

Defendan memaklumkan mahkamah bahawa dia akan membayar denda itu esok dan jika gagal, Majistret memerintahkannya untuk menjalani hukuman penjara selama dua bulan.

ARTIKEL YANG SAMA