Dua perlawanan berakhir 7-5

Dua perlawanan berakhir 7-5

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 Ogos – Kedua-dua perlawanan terakhir Kumpulan A Futsal Piala Perdana TelBru 2015 yang berlangsung petang kelmarin di Dewan Serbaguna, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah (KSNHB) berakhir dengan jaringan 7-5.

Perlawanan pertama menyaksikan PES yang ketinggalan 1-3 pada separuh masa pertama bangkit di separuh masa kedua dengan ledakan enam jaringan untuk menang 7-5 ke atas Samba FT, sekaligus meranapkan peluang kemaraan Samba FT ke pusingan kalah mati.

Pada perlawanan kedua, 1st Five FT yang sudah mengesahkan kedudukan juara kumpulan menjadi miliknya pada 17 Ogos yang lalu, dilihat tidak menurunkan lima pemain utamanya termasuk penjaga gol, sebaliknya memberi peluang kepada para pemainnya yang kurang atau belum bermain untuk beraksi.

Keadaan itu diambil peluang sepenuhnya oleh BMB FT untuk bukan saja memberikan kekalahan pertama kepada 1st Five FT tetapi membolosinya sebanyak tujuh kali, yang sekaligus memastikan kemaraannya ke pusingan kedua selaku naib juara kumpulan dengan kelebihan dua jaringan berbanding PES.

PES masih berpeluang mara ke pusingan kedua selaku sebuah pasukan di tangga ketiga terbaik dari lima kumpulan, tetapi masih perlu menunggu keputusan dari empat kumpulan lain sambil berharap tiada pasukan di tempat ketiga dari empat kumpulan itu mencatat keputusan lebih baik daripadanya.

BMB FT (kuning) memberikan kekalahan pertama kepada 1st Five FT dengan jaringan 7-5 pada perlawanan terakhir Kumpulan A.
BMB FT (kuning) memberikan kekalahan pertama kepada 1st Five FT dengan jaringan 7-5 pada perlawanan terakhir Kumpulan A.

Setelah berakhirnya persaingan peringkat kumpulan dalam Kumpulan A, 1st Five FT muncul juara kumpulan dengan 6 mata, sementara BMB FT meraih naib juara dengan 4 mata (14 jaringan & 12 bolos). PES di tempat ketiga dengan 4 mata (12 jaringan & 12 bolos), manakala Samba FT di tangga tercorot dengan 1 mata.

Dalam perlawanan pertama antara PES dengan Samba FT, Samba FT mendahului 3-0 menerusi jaringan Mohd Husni pada minit ke-2 dan ke-12 dan kemudiannya Azizi Hamiz dua minit kemudian. Jaringan sendiri pemain Samba FT pada minit ke-17 memberikan PES sedikit harapan untuk membawa kedudukan 1-3 ke babak kedua.

Walaupun Mohd Fadil berjaya merapatkan jaringan kepada 2-3 pada minit ke-23, BMB FT berjaya membalas dengan dua gol dalam tempoh dua minit pada minit ke-24 sumbangan Tirmizi dan minit ke-25 oleh Azizie Waie untuk kedudukan 5-2 memihak BMB FT.

Namun sepuluh minit terakhir perlawanan menyaksikan kebangkitan menakjubkan PES dengan penghasilan lima gol bermula pada minit ke-31 melalui Mohd Wafeeg, disusuli jaringan Mohd Safwat seminit kemudian, Mohd Najib pada minit ke-37, Mohd Wafeeg sekali lagi pada minit ke-38 dan Kamarul Arifin pada minit ke-39.

Perlawanan kedua, 1st Five FT menentang BMB FT bermula dengan penghasilan tujuh jaringan pada babak pertama yang diterajui BMB FT dengan jaringan 4-3. Jaringan-jaringan BMB FT dihasilkan oleh Mohd Nasyrul pada minit ke-2 dan ke-10, Mohd Adi Shahrol pada minit ke-17 dan Mohd Nazirol pada minit ke-18, manakala jaringan-jaringan 1st Five FT dihasilkan oleh Mohd Amirul Hazmi pada minit ke-3, Mohd Adree pada minit ke-10 dan Roziwadiwan pada minit ke-15.

Pada babak kedua BMB FT berjaya menambah tiga gol lagi disumbangkan oleh Mohd Adi Shahrol pada minit ke-21 untuk jaringan kedua peribadinya,Mohd Nasyrul untuk catatan hatriknya pada minit ke-23 dan Mohd Naimullah pada minit ke-37. Gol 1st Five FT pula dihasilkan oleh Mohd Amirul Hazmi pada minit ke-24 dan ke-35 untuknya mencatat hatrik.

ARTIKEL YANG SAMA