Dua perlawanan Liga Super Futsal Brunei Takaful 2016 diteruskan

Dua perlawanan Liga Super Futsal Brunei Takaful 2016 diteruskan

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 Mei – Minggu kedua Liga Super Futsal Brunei Takaful 2016 diteruskan dengan dua perlawanan malam tadi yang menyaksikan Arbisyam FC menjinakkan Rizfiz FT 6-2, manakala Shah United FC menundukkan Street FT 5-1.

Pada aksi lewat malam tadi di Dewan Serbaguna, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Arbisyam FC menguasai separuh masa kedua dengan ledakan empat gol selepas sekadar mendahului 2-1 pada separuh masa pertama. Syazwani dan Muhd Azri masing-masing menjaringkan satu gol pada minit ke-12 dan 18 untuk membawa Arbisyam FC ke depan dengan jaringan 2-0 tetapi Zulhirni sempat menjaringkan gol untuk Rizfiz FT dua minit sebelum rehat sekaligus membawa bekal kedudukan 1-2 ke babak kedua.

Bersambung ke separuh masa kedua, Muhd Ashahiddin mengembalikan pendahuluan dua gol Arbisyam FC pada minit ke-24 disusuli dengan ledakan gol muhd Azizul Syaree tujuh minit kemudian untuk gol keempat Arbisyam FC. Muhd Rifdi kemudian mencatatkan namanya dalam senarai penjaring pada minit ke-36 untuk terus membawa Arbisyam FC jauh di depan dengan jaringan 5-1.

Kemudian Zulhirni melakukan kemahiran individu hebat melambung bola menggunakan belakang kakinya bagi melambungkan bola melepasi kepala pertahanan lawan sebelum kemudiannya menewaskan penjaga gol Arbisyam FC untuk gol kedua peribadi dan pasukannya.

Namun kegembiraan meraikan gol cantik itu bertahan hanya seketika apabila seminit kemudian Muhd Azizul berjaya menyumbat gol kedua peribadinya untuk gol keenam Arbisyam FC, yang ternyata menjadi gol terakhir perlawanan untuk keputusan muktamad 6-2.

Sepakan percuma Arbisyam FC (hitam kuning) yang nyaris membolosi gawang Rizfiz FT. Arbisyam FC menang 6-2.
Sepakan percuma Arbisyam FC (hitam kuning) yang nyaris membolosi gawang Rizfiz FT. Arbisyam FC menang 6-2.

Pada perlawanan awal, Shah United FC bangkit daripada ketinggalan 0-1 pada minit ke-3 hasil jaringan ketua pasukan Street United FT, Mohd Abdul Hafiy, dengan ledakan lima gol iaitu empat gol pada babak pertama dan satu lagi pada babak kedua.

Fakhri menghasilkan jaringan pertama Shah United FC pada minit ke-4, disusuli jaringan Awangku Asrul pada minit ke-9 dan dua gol peribadi Mohd Arif pada minit ke-15 dan 16. Gol kelima Shah United FC hadir dua minit selepas rehat menerusi jaringan Muhd Ulfi.

Dengan dua keputusan itu serta dua keputusan pada Jumaat lalu iaitu MS ABDB menang 4-1 ke atas PBDB FT dan Pega Star FT menang 5-2 ke atas BIO FT, Kota Junior selaku juara bertahan masih dipuncak dengan 6 mata dan +12 perbezaan gol.

Penyandang naib juara musim lalu, Shah United FC di tempat kedua dengan 6 mata dan +8 perbezaan gol, sementara pemenang tempat ketiga tahun lalu, MS ABDB di tempat ketiga dengan 6 mata dan +4 perbezaan gol.

Arbisyam FC yang baru bermain sekali di tempat keempat dengan 3 mata dan +4 perbezaan gol, di atas pasukan yang baru dikalahkannya, Rizfiz FT yang juga mengumpul 3 mata tetapi hanya memiliki +1 perbezaan gol daripada dua perlawanan.

Pega Star FC yang sudah bermain tiga kali di tempat keenam dengan 3 mata, 9 jaringan dan 10 bolos, sementara PBDB FT yang telah melalui dua perlawanan di tempat ketujuh dengan 3 mata, 6 jaringan dan 7 bolos.

Street United FT di tempat kelapan dengan 3 mata, 7 jaringan dan 10 bolos, tatkala tiga pasukan di bawahnya iaitu NFT U-19, First Five FT dan BIO FT masing-masing belum mengutip sebarang mata di tempat kesembilan, kesepuluh dan kesebelas.