Dua pertemuan rebut gelaran juara

Dua pertemuan rebut gelaran juara

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 Mei – Final Kejohanan Bolasepak Sekolah-sekolah Rendah Kawasan Brunei IIA, 2016 akan menyaksikan pertemuan antara Sekolah Arab Sungai Akar dengan Sekolah Rendah (SR) Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (YSHHB).

Kedua-dua pasukan berjaya melepasi halangan separuh akhir menerusi kemenangan sepakan penalti penentuan ke atas lawan masing-masing di padang SR Pulaie, hari ini.

Pada separuh akhir pertama, Sekolah Arab Sungai Akar menjaringkan gol penyamaan ketika perlawanan hampir tamat untuk mengikat kedudukan 1-1 sebelum menang tendangan penalti dengan jaringan 4-2 untuk agregat kemenangan 5-3 ke atas ISB.

Separuh akhir kedua turut menyaksikan kedua-dua pasukan, SR YSHHB dan SR Lambak Kanan (LK) Jalan 10 bersaing sengit sehingga kedua-duanya kekal terikat tanpa jaringan selepas masa sebenar perlawanan tamat.

Dalam sepakan penalti penentuan, SR YSHHB berjaya menyempurnakan tiga sepakan mereka berbanding hanya dua buat SR LK Jalan 10, sekali gus menghadiahkan laluan mara ke final dengan jaringan 3-2.

Persaingan merebut bola antara pemain SR YSHHB (kuning) dengan SRLK Jalan 10 (hijau) di dalam petak SRLK Jalan 10 di separuh akhir.
Persaingan merebut bola antara pemain SR YSHHB (kuning) dengan SRLK Jalan 10 (hijau) di dalam petak SRLK Jalan 10 di separuh akhir.

Sebelum dua perlawanan separuh akhir itu dilangsungkan, empat perlawanan pada peringkat suku akhir telah dijalankan.

Suku akhir pertama menyaksikan Sekolah Arab Sungai Akar menang 5-4 (sepakan penalti) ke atas SR Anggerek Desa, manakala ISB mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas SR Dato Basir dalam perlawanan suku akhir kedua.

SR YSHHB kemudiannya menyusul mara ke separuh akhir selepas menewaskan SR Dato Othman 2-0, diikuti kemaraan SR LK Jalan 10 menerusi kemenangan dengan jaringan serupa ke atas jirannya, SR LK Jalan 49 bagi melengkapkan empat kuota separuh akhir.

Kejohanan tahunan anjuran Jabatan Pendidikan Kokurikulum, Kementerian Pendidikan itu akan diteruskan lagi esok (Rabu, 4 Mei) dengan dua perlawanan bagi penentuan tempat ketiga dan final.

ARTIKEL YANG SAMA