Dua pesawat Air France dilencongkan

Dua pesawat Air France dilencongkan

LOS ANGELES, 18 Nov (AFP) – Dua penerbangan Air France ke Paris dari Amerika Syarikat (AS) dilencongkan semalam dan selamat mendarat selepas pihak penerbangan menerima ancaman bom dari pihak yang tidak dikenali, menurut syarikat penerbangan itu.

“Penerbangan 65 dari Los Angeles dan Penerbangan 55 dari Washington telah menjadi sasaran ancaman dari pihak yang tidak dikenali selepas berlepas,” menurut kenyataan syarikat penerbangan itu.

Kejadian berlaku beberapa hari selepas serangan ganas minggu lalu di Paris yang mengorbankan 129 orang dan menimbulkan kebimbangan di ibu negara Perancis dan di tempat lain. Menurut Air France kedua-dua pesawat udara itu telah selamat mendarat dan telah menjalani pemeriksaan keselamatan.

“Sebagai langkah awal berwaspada dan untuk menjalankan semua pemeriksaan keselamatan yang perlu, Air France memutuskan untuk meminta pendaratan kedua-dua pesawat,” menurutnya.

“Pihak berkuasa setempat melaksanakan pemeriksaan menyeluruh ke atas pesawat udara itu, penumpang dan bagasi mereka.”

Pesawat Airbus 380 Perancis, penerbangan 65 mendarat di landasan Lapangan Terbang Antarabangsa Salt Lake City untuk diperiksa oleh FBI. – AFP
Pesawat Airbus 380 Perancis, penerbangan 65 mendarat di landasan Lapangan Terbang Antarabangsa Salt Lake City untuk diperiksa oleh FBI. – AFP

Air France berkata pihak berkuasa juga menjejaki ‘sumber panggilan telefon.’ Tidak jelas jika orang yang sama telah membuat kedua-dua ancaman.

Penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Dulles di luar Washington bersama 262 orang penumpang di dalamnya telah dilencongkan ke Halifax, Nova Scotia dan mendarat pada kira-kira pukul 10:15 malam waktu tempatan.

Penerbangan dari Los Angeles yang membawa 497 penumpang dan anak buah kapal telah selamat mendarat di Salt Lake City, Utah.

“Beberapa agensi penguat kuasa undang-undang sedang berusaha memastikan ciri-ciri ancaman yang mengakibatkan pesawat udara itu dilencongkan,” ejen FBI Todd Palmer, dari divisyen Salt Lake City memberitahu CNN.