Dua polis Myanmar maut dalam serangan terancang

Dua polis Myanmar maut dalam serangan terancang

YANGON, 9 Okt – Dua orang anggota polis terbunuh dalam serangan terancang oleh sebuah kumpulan yang tidak dikenali di pos kawalan di sepanjang sempadan Myanmar dengan Bangladesh awal pagi ini, menurut pihak polis dan seorang pegawai.

Serangan disasarkan ke atas tiga pos kawalan sempadan kira-kira pukul 1:30 pagi berhampiran Maungdaw di Rakhine, sebuah negeri miskin di barat Myanmar yang dicengkam ketegangan sektarian antara penganut Buddha dan Islam.

“Menurut maklumat awal, dua orang anggota polis telah terbunuh, dua orang lagi tercedera dan enam lagi anggota polis dilaporkan hilang,” Tin Maung Swe, seorang pegawai kanan dalam kerajaan negeri Rakhine memberitahu AFP.

Seorang pegawai polis di bandar Naypyidaw mengesahkan tiga buah tempat diserang tetapi enggan memberikan butiran lanjut. Sumber kedua polis juga mengesahkan serangan itu, dengan menambah kata seramai-ramainya lapan orang anggota polis terbunuh, dan begitu beberapa orang penyerang.

Sebilangan senjata juga dirampas oleh para penyerang dari pos kawalan sempadan, tambah pegawai itu lagi. Rakhine telah berpecah belah akibat agama sejak keganasan perkauman melanda negeri itu pada tahun 2012, yang mengorbankan ramai orang dan memaksa berpuluh-puluh ribu orang melarikan diri.

Orang Rohingya Islam sebahagian besarnya terbatas di kem-kem dan dikenakan pengetatan yang disamakan oleh kumpulan hak asasi dengan aparteid. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA