Dua polis terbunuh, 1 cedera dalam insiden penembakan

Dua polis terbunuh, 1 cedera dalam insiden penembakan

LOS ANGELES, 9 Okt – Dua orang anggota polis AS ditembak mati dan seorang cedera semalam ketika memberi respons kepada laporan tentang gangguan keluarga di Palm Springs, menurut pihak polis.

Kejadian tembakan berlaku selepas dua anggota polis pergi ke sebuah rumah selepas menerima laporan dari seorang pemanggil wanita bahawa anak lelaki dewasanya menyebabkan gangguan, ketua polis Bryan Reyes memberitahu para wartawan.

“Lelaki itu enggan membuka pintu dan mengancam akan menembak para pegawai melalui pintu-pintu tertutup,” kata Reyes.

Kira-kira 10 minit selepas kali pertama pihak polis memberi respons, kedua-dua anggota polis itu telah meminta tenaga bantuan kecemasan dan berkata tembakan telah dilepaskan.

“Itu hanyalah gangguan biasa keluarga dan lelaki bersenjata itu memilih untuk melepaskan tembakan,” kata Reyes dengan penuh emosi.

“Saya tersedar daripada mimpi ngeri sekarang ini.”

Tiga anggota polis tercedera dalam tembakan senjata itu dan telah dikejarkan ke hospital setempat, yang mana dua daripada mereka telah meninggal dunia.

“Hari ini Palm Springs telah kehilangan dua anggota yang berani,” kata Reyes, suaranya agak bergetar. “Mereka keluar setiap hari dan menjalankan tugas untuk semua orang dalam masyarakat ini.”

“Mereka memberikannya semua untuk kamu semua.”

Reyes berkata mangsa ketiga sedang dirawat di hospital tetapi ‘dalam keadaan sedar’ dan sedang membantu para penyiasat.

Ketua polis mengenal pasti para mangsa sebagai Jose Gilbert Vega, veteran jabatan polis berusia 35 tahun yang dijangka bersara pada Disember ini dan Lesley Zerebny, seorang pegawai berusia 27 tahun yang telah melahirkan anak empat bulan lalu.

Ketua polis Palm Springs berkata kawasan itu, tempat berlakunya kejadian tembakan masih disiasat polis dan penyiasatan telah diserahkan kepada unit pusat homisid Jabatan Syerif Daerah Riverside. – AFP