Dua produk kosmetik tercemar

Dua produk kosmetik tercemar

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Sept – Dua lagi produk kosmetik iaitu SWL-Toner Lotion A dan Treatment Cream telah didapati dicemari dengan bahan terlarang yang boleh mengakibatkan kesan-kesan mudarat dan membahayakan kesihatan.

Menurut kenyataan Kementerian Kesihatan, produk-produk berkenaan telah didapati melalui aktiviti pemantauan semasa pasaran yang dijalankan oleh Bahagian Penguatkuasaan Farmasi di kedai-kedai runcit. Ujian makmal Bahagian Kawalan Mutu Ubat, Jabatan Perkhidmatan Farmasi telah mendapati bahawa kedua-dua produk tersebut dicemari dengan Hydroquinone dan Tretinoin.

Hydroquinone dan Tretinoin adalah bahan-bahan yang digunakan dalam ubat-ubatan yang memerlukan preskripsi bagi merawat penyakit kulit dan ia dilarang sebagai bahan di dalam produk kosmetik penjagaan kulit di bawah Peraturan Ubat (Produk Kosmetik).

Penggunaan Hydroquinone tanpa pengawasan boleh menyebabkan perubahan warna kulit, hipersensitif, bahagian kulit yang disapu menjadi biru-hitam atau gelap serta boleh meningkatkan risiko kanser kulit. Manakala itu, penggunaan tretinoin yang tidak betul boleh menyebabkan kulit yang disapu menjadi kemerahan, mengelupas dan parut pada kulit.

Kementerian Kesihatan, dalam kenyataannya berkata bahawa, pihak mereka tidak pernah mengeluarkan kebenaran ke atas pengimportan dan mengeluarkan Surat Pengakuan Notifikasi Produk Kosmetik bagi penjualan produk-produk tersebut.

Produk Treatment Cream.
Produk Treatment Cream.
Produk SWL-Toner Lotion A.
Produk SWL-Toner Lotion A.

Berikutan dapatan ini, produk-produk berkenaan dilarang untuk diimport dan dijual di Negara Brunei Darussalam.

Sehubungan itu, orang ramai yang telah membeli atau mengambil produk-produk tersebut dinasihatkan untuk menghentikan pengambilannya dengan serta merta. Jika mereka mengalami kesan buruk dan merasa tidak sihat selepas mengambil produk-produk berkenaan, hendaklah berjumpa doktor dengan segera. Orang ramai yang terlibat dalam penjualan produk-produk tersebut (termasuk penjualan secara online seperti melalui Facebook dan sebagainya) diingatkan bahawa adalah menjadi satu kesalahan di bawah Peraturan Ubat (Produk Kosmetik), 2007 untuk mengimport dan memasarkan produk kosmetik di pasaran tempatan tanpa Surat Pengakuan Notifikasi Produk Kosmetik yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa di Kementerian Kesihatan, dan jika didapati bersalah boleh didenda tidak melebihi $5,000 serta penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Kementerian Kesihatan juga memohon kerjasama orang ramai untuk melaporkan kepada Bahagian Penguatkuasaan Farmasi jika mendapati produk-produk berkenaan masih dipasarkan di negara ini.

Untuk maklumat dan perhubungan lanjut, orang ramai boleh menghubungi Bahagian Penguatkuasaan Farmasi di talian telefon 2393298 sambungan 208, menghantar e-mel kepada pharmacy.enforcement@moh.gov.bn atau berjumpa terus Pegawai Penguatkuasaan Farmasi di Tingkat 1, Bangunan Jabatan Perkhidmatan Farmasi, Kampung Madaras, Mukim Gadong A.

ARTIKEL YANG SAMA