Dua puluh cedera kren runtuh di Belanda

Dua puluh cedera kren runtuh di Belanda

AMSTERDAM, 4 Ogos (Reuters) – Dua buah kren yang mengangkat sebahagian besar jambatan runtuh di bandar barat Belanda semalam, meranapkan sebaris rumah kediaman serta mencederakan sekurang-kurangnya 20 orang, menurut pihak berkuasa.

Rakaman video kemalangan itu di Alphen aan den Rijn menunjukkan sebahagian jalan tersebut bergoyang di luar kawalan lalu jatuh menimpa rumah kediaman, disusuli oleh teriakan orang ramai yang berada di tempat kejadian.

Beberapa buah bangunan mengalami kerosakan dan para pekerja penyelamat berusaha mengesan mangsa yang terselamat, lapor badan penyiaran Belanda, NOS.

Responden kecemasan di Alphen aan den Rijn mengesahkan kemalangan itu melalui akaun Twitter, tetapi tiada maklumat lanjut yang diberikan. Berbelas-belas kenderaan kecemasan berada di tempat kejadian.

Pemandangan dari udara yang dirakam pada 3 Ogos 2015 menunjukkan keadaan dia kren yang runtuh dan menimpa rumah kediaman di Alphen aan den Rijn di Belanda. – AFP
Pemandangan dari udara yang dirakam pada 3 Ogos 2015 menunjukkan keadaan dia kren yang runtuh dan menimpa rumah kediaman di Alphen aan den Rijn di Belanda. – AFP

Jambatan itu, yang menyeberangi sungai Old Rhine sedang menjalani pembaikan selepas tinjauan pada 2010 menunjukkan struktur kelulinya berada dalam keadaan yang membahayakan. Kerja-kerja membaik pulih itu yang bermula pada musim bunga dijangka siap sepenuhnya menjelang musim panas.

Insiden itu berlaku ketika tanjakan keluli yang membentuk bahagian tengah gerbang jambatan ayunan tersebut direndahkan kedudukannya.