Dua Qari wakili Brunei ke Jakarta

Dua Qari wakili Brunei ke Jakarta

Oleh Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 April – Dua orang qari Negara Brunei Darussalam telah berlepas ke Jakarta, Indonesia bagi mewakili negara dalam Pertandingan Tahunan Putera Sultan bin Abdul Aziz dalam Menghafaz Al-Quran dan AS-Sunah bagi Negara-negara ASEAN dan Asia Pasifik yang akan berlangsung pada 22 April ini.

Penyertaan Awang Irma Muhammad Hazmie bin Haji Matussin yang merupakan tenaga pengajar Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah (ITQSHHB) dan Awang Muhammad Aqiel Hidayat bin Haji Zulfa yang merupakan pelajar ITQSHHB diiringi oleh Awang Muhammad bin Mat Lazim selaku pengurus dan pembimbing serta ketua rombongan.

Awang Muhammad semasa ditemui di ruang berlepas Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei, hari ini, berkata bahawa peserta yang dipilih untuk mewakili negara ini telah menjalani sesi pemilihan, di mana mereka ini dilihat berkebolehan dan mampu menghafaz dengan baik sekali.

Jelasnya, peserta pertandingan ini telah dipersiapkan dengan pelbagai latihan seperti latihan ‘tubu’ iaitu ujian untuk menilai sejauh mana kekuatan dan ingatan mereka sebelum menghadapi ujian.

Gambar ramai bersama rombongan negara sebelum berlepas ke Jakarta untuk menyertai pertandingan tersebut.
Gambar ramai bersama rombongan negara sebelum berlepas ke Jakarta untuk menyertai pertandingan tersebut.

Latihan tersebut juga dijalankan setiap hari bagi memantapkan lagi hafalan dan meningkatkan keyakinan peserta apabila berhadapan di depan hakim-hakim pertandingan.

Tambah beliau lagi, pada kebiasaannya para peserta akan berasa gementar apabila berhadapan dengan hakim-hakim pertandingan, di mana ini adalah salah satu perkara yang sering dihadapi oleh peserta pertandingan.

“Penyertaan negara pada pertandingan tahun ini diharap dapat memberi galakan dan pendedahan kepada peserta sebagai motivasi ke arah mencapai prestasi yang lebih baik dalam bidang Hafazan Al-Qur’an di masa akan datang,” tegasnya.

Peserta negara, Awang Irma Muhammad Hazmie telah beberapa kali mewakili negara dalam pertandingan menghafaz Al-Quran di luar negara dan kali ini beliau menyertai Kategori Menghafaz 20 Juzuk Al-Quran, manakala Awang Muhammad Aqiel Hidayat pula menyertai dalam Kategori Menghafaz 10 Juzuk Al-Quran.

ARTIKEL YANG SAMA