Dua rakyat Indonesia cuba keluar secara haram dihukum penjara, sebat

Dua rakyat Indonesia cuba keluar secara haram dihukum penjara, sebat

SINGAPURA, 5 Jun (Bernama) – Dua lelaki warganegara Indonesia dikenakan hukuman penjara dan sebat kerana cuba meninggalkan negara ini secara haram melalui Pusat Pemeriksaan Woodlands dengan sebuah kereta yang menggunakan nombor pendaftaran Malaysia, kata Pihak Berkuasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA).

Dalam kenyataan hari ini, ICA berkata pada pukul 9.40 malam, 21 Mei lepas, beberapa pegawai ICA yang melakukan pemeriksaan terhadap sebuah kereta di Pusat Pemeriksaan Woodlands menemui seorang lelaki di dalam butnya.

Berikutan penemuan itu, pemandu dan penumpang kereta berkenaan ditahan.

Pemandu kereta terbabit Hasan Maksum, 48, dan penumpangnya Sofyan Soeb, 41, dihadapkan ke mahkamah dan disabitkan kesalahan.

Hasan dikenakan hukuman dua tahun penjara serta tiga sebatan kerana kesalahan cuba menyeludup keluar Sofyan dari Singapura.

Sofyan pula dikenakan hukuman tiga bulan penjara dan tiga sebatan kerana tinggal melebihi tempoh sah serta gagal mengemukakan pasportnya kepada pegawai imigresen ketika keluar dari negara ini.

Kereta yang digunakan ketika melakukan kesalahan itu ditahan dan mungkin dirampas, kata kenyataan itu.

Menurut Akta Imigresen (Cap 133) Singapura, hukuman bagi kesalahan tinggal melebihi tempoh sah atau masuk ke nagara ini secara haram ialah penjara hingga enam bulan dan tidak kurang tiga sebatan.

Hukuman kerana terlibat dengan perniagaan membawa imigran terlarang untuk masuk atau keluar dari Singapura ialah penjara tidak kurang dua tahun dan tidak lebih lima tahun serta tidak kurang tiga sebatan.