Dua remaja mati lemas di Tawau

Dua remaja mati lemas di Tawau

TAWAU, 29 Feb (Bernama) – Dua remaja lelaki maut ketika mandi bersama tiga lagi rakan mereka di sebuah kolam di Kampung Hidayat, Kilometer 6.4 Jalan Apas, di sini, pagi tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tawau Mohd Razali Ag Ahmad berkata tujuh pegawai dan anggota bersama dua jentera bergegas ke lokasi setelah menerima panggilan kira-kira jam 07:58 pagi, untuk mencari dan menyelamat mangsa terbabit.

Pasukan bomba telah menemui mangsa pertama Binhar Patta, 19, dan mangsa kedua dikenali sebagai Haikal Daniel, 13, ditemui 15 minit kemudian, sementara tiga rakan mereka selamat, katanya dalam kenyataan di sini Isnin.

Beliau berkata kejadian lemas di kolam itu merupakan kali kedua selepas kejadian pada 6 Nov tahun lepas.

Dalam kejadian itu, seorang remaja perempuan Norimah Ahmad, 17, maut ketika cuba menyelamatkan adiknya yang jatuh semasa mereka sedang membasuh kain di kolam berkenaan.