Dua remaja negara sertai AJFC di Jerman

Dua remaja negara sertai AJFC di Jerman

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Sept – National Insurance Company Berhad, dengan kerjasama Allianz, menerima sejumlah 133 permohonan daripada pemain bola sepak yang berminat untuk menyertai Kem Bola Sepak Junior (AJFC) yang ketujuh.

Awangku Muhd Amirul Hakim Bin Pengiran Haji Zulkarnain dan Mohamed Adam Bin Khalid, masing-masing berusia 15 tahun dan 14 tahun, adalah di antara 75 remaja yang bernasib baik dari 27 negara yang dipilih mengambil bahagian dalam ‘peluang sekali seumur hidup‘ menyertai AJFC pada Ogos 2015 di Munich, Jerman.

Para jurulatih yang berkaliber melatih para pemain junior sepanjang tempoh enam hari dengan membawa para peserta menghampiri impian mereka untuk menjadi bintang bola sepak di pusat latihan FC Bayern Munich.

Latihan tersebut membantu peserta kem untuk meningkatkan lagi kemahiran bola sepak mereka selain menanam semangat bekerjasama antara sesama pemain sekali gus memantapkan kekuatan mental sebagai sebuah pasukan.

Awangku Muhd Amirul Hakim dan Mohamed Adam bergambar kenangan ketika menyertai Kem AJFC di Munich, Jerman.
Awangku Muhd Amirul Hakim dan Mohamed Adam bergambar kenangan ketika menyertai Kem AJFC di Munich, Jerman.

Sesi kemuncak bagi para peserta kem bola sepak itu ialah peluang untuk bertemu dengan pujaan bola sepak mereka. Di antaranya ialah Manuel Neuer, yang menghabiskan masa menyuntik semangat dan inspirasi kepada 12 remaja perempuan dan 63 remaja lelaki dalam meneruskan matlamat mereka dengan penuh keberanian dan ketabahan.

“Bagi saya, kem AJFC adalah mengenai bakat anak-anak muda,” kata Neuer.

“Minat dan kesungguhan mereka mengingatkan saya ketika usia saya sama dengan mereka, terutama apabila menyaksikan model peranan saya bermain. Para remaja menunjukkan semangat tinggi dalam semua aspek bola sepak.

“Meskipun wujud halangan bahasa dan budaya namun mereka berupaya membina satu pasukan yang mantap dalam tempoh singkat dan bukan hanya di atas padang.”

Selain sesi latihan yang intensif, peserta kem juga melawat beberapa tempat terkenal di Munich, jelajah di belakang tabir ke Allianz Arena yang masyhur di dunia serta menyaksikan perlawanan Bundesliga di antara FC Bayern Munich menentang Hamburger SV di arena berkenaan.