Dua remaja positif dadah

Dua remaja positif dadah

Oleh Arissa

 

LIMBANG, 23 Sept – Seorang remaja perempuan dicekup polis selepas disyaki positif dadah bersama seorang lelaki dalam operasi Ops Mabuk di Jalan Kubu dan Tarap di sini malam kelmarin.

Dalam operasi yang dijalankan jam 10 malam itu suspek 15, ditahan bersama seorang lelaki 48, dari Kampung Kelapa Mawar yang juga pemandu sebuah kereta jenis Toyota bernombor pendaftaran Brunei.

Ketua Polis Daerah Limbang Superintenden Mohd Bukhori Saffai menjelaskan operasi dijalankan sepasukan polis trafik daerah diketuai oleh ASP Khairul Ridzuan Ahmad bersama 10 anggota.

“Hasil pemeriksaan ke atas kenderaan itu, kita menjumpai empat keratan tiub straw lutsinar yang mengandungi ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu seberat 0.53 gram,”katanya kepada pemberita disini semalam.

Mohd Bukhori mendedahkan lagi dadah berkenaan disembunyikan di bawah tempat duduk pemandu.

Mohd Bukhori Saffai menjelaskan hasil daripada pemeriksaan air kencing ke atas kedua suspek adalah positif. – Bernama
Mohd Bukhori Saffai menjelaskan hasil daripada pemeriksaan air kencing ke atas kedua suspek adalah positif. – Bernama

“Kedua-dua suspek ,barang kes dan kenderaan diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Limbang untuk tindakan lanjut.

”Hasil pemeriksaan air kencing ke atas kedua-dua suspek juga mendapati kedua-duanya positif dadah,” katanya lagi.

Kes terbabit katanya akan disiasat di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Mengulas lanjut mengenai operasi itu kata Mohd Bukhori memberitahu sebanyak 13 buah kenderaan diperiksa dan 13 saman dikeluarkan sepanjang operasi yang bermula jam 10 malam hingga 12.30 tengah malam.

Ujarnya kebanyakkan saman yang dikeluarkan merangkumi kesalahan lesen memandu, lampu brek, tanda P dan no plat kenderaan,”katanya lagi.

“Tiada kenderaan disita dan tiada tangkapan dilakukan sepanjang Ops terbabit,” katanya lagi.