Dua strategi untuk capai kemajuan ICT

Dua strategi untuk capai kemajuan ICT

Oleh Danial Norjidi

 

AWAL tahun ini, Kertas Putih ICT Kebangsaan dan Pelan Induk Tenaga Kerja ICT telah dilancarkan.

Kertas Putih dan Pelan Induk itu telah dilancarkan oleh Kementerian Perhubungan dan Autoriti Industri Teknologi Info-Komunikasi Brunei Darussalam (AITI) pada 4 Februari.

AITI dalam kenyataannya semasa pelancaran tersebut berkata, Kertas Putih ICT Kebangsaan bagi Negara Brunei Darussalam diwujudkan untuk merangka pelan strategi dan program bagi pelaksanaan ICT di peringkat kebangsaan untuk mendukung hasrat negara di dalam mencapai matlamat Wawasan 2035.

Penyediaan Kertas Putih tersebut memfokuskan pada usaha pembaikan melalui inisiatif yang boleh diaplikasikan secara menyeluruh ke atas enam sektor utama yang merangkumi e-Kerajaan, tenaga, kesihatan, pengangkutan, pendidikan dan perkhidmatan.

Kertas Putih ICT Kebangsaan diusahakan oleh Kementerian Perhubungan dan AITI bagi menetapkan arah strategik bagi ICT di Brunei Darussalam bagi tahun 2016-2020.

Yang Berhormat Dato selaku tetamu kehormat majlis.
Yang Berhormat Dato selaku tetamu kehormat majlis.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Mustappa ketika menyampaikan ucapan perasmian Kertas Putih ICT Kebangsaan.
Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Mustappa ketika menyampaikan ucapan perasmian Kertas Putih ICT Kebangsaan.

Kertas Putih itu sendiri menyokong ‘Strategi Digital Kebangsaan’ dengan ICT memainkan peranan sebagai enjin masa depan bagi perkembangan ekonomi Brunei. Ia merangkumi beberapa cadangan bagi membantu negara ini mendapatkan manfaat daripada ICT bagi mempelbagaikan ekonomi, merangsang Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) , meningkatkan kualiti kehidupan rakyat dan mencapai matlamatnya untuk menjadi ‘Smart Society’ atau ‘Masyarakat Pintar’.

Ia juga merangkumi pertimbangan daripada ICT antarabangsa dan pengaruh trend ICT di seluruh dunia.

Beberapa kebimbangan utama juga ditimbulkan dalam Kertas Putih, disertakan dengan beberapa cadangan bagaimana untuk menanganinya.

Kebimbangan-kebimbangan itu termasuk: kurangnya kejayaan daripada pembangunan industri ICT bagi kepelbagaian ekonomi; kurangnya sumber tenaga kerja dan kurangnya keserasian; kekurangan dari segi pengukuhan dan integrasi bagi seluruh agensi-agensi; ruang terhad bagi infrastruktur ICT dan platform-platform lain.

Kertas Putih ICT Kebangsaan itu menggariskan tiga hasil strategik iaitu ekonomi pesat yang dijana oleh ICT, masyarakat bijak ICT, dan negara yang saling berhubung dan berkebolehan.

Empat teras strategik telah direka untuk mencapai hasil-hasil strategik berkenaan: mencipta industri ICT yang berkembang maju dan inovasi; inform, engage dan empower orang ramai; dan membina kerajaan generasi seterusnya.

Keseluruhannya, 21 program-program telah dicadangkan untuk menggerakkan teras-teras itu.

Jika kesemua itu dilaksanakan dengan baik, ia dihasrat untuk mencapai lapan sasaran utama menjelang 2020. Sasaran itu adalah enam peratus sumbangan dari industri untuk KDNK; 6,000 orang profesional berkemahiran ICT; lima PSK tempatan dengan perniagaan serantau; peningkatan 30 tempat dalam ranking utama; 80 peratus kepuasan pelanggan; kos jalur lebar 1.5 peratus purata pendapatan bulanan; 50,000 urus niaga pasaran B2C; dan 18,000 orang penduduk celik ICT.

Sementara itu, Pelan Induk Tenaga Kerja ICT Kebangsaan telah diwujudkan bagi melengkapi Kertas Putih ICT Kebangsaan, menangani permintaan tenaga kerja dan jurang kemahiran ICT.

“Pelan Induk mengenal pasti keperluan masa depan industri ICT di dalam negara dengan mengadakan program-program dan strategi-strategi bagi memastikan tenaga kerja berkemahiran ICT dapat memenuhi keperluan itu,” menurut kenyataan AITI.

“Pelan Induk juga disusun bagi menangani cabaran-cabaran tenaga kerja ICT dan membolehkan ICT menjadi tiang utama bagi perkembangan ekonomi.”

Beberapa isu utama telah dikenal pasti untuk diberikan tumpuan berdasarkan analisis tenaga kerja ICT pada masa ini, bersertakan denganbeberapa maklum balas dari industri tersebut dan institusi pendidikan. Isu-isu itu termasuk terhadnya persepsi mengenai kerjaya ICT; kekurangan data terhadap tenaga kerja ICT; jurang kemahiran dan ketidakserasian dalam kumpulan bakat ICT; dan permintaan tidak mencukupi bagi perkhidmatan ICT di barisan depan domestik.

Pelan Induknya direka untuk mengatasi kesemua cabaran ini dan membolehkan ICT menjadi tiang utama bagi perkembangan ekonomi. Bagi mengukur kejayaan, matlamat strategik adalah menambah jumlah profesional berkemahiran kepada 6,000 orang dengan mencipta 1,800 peluang pekerjaan tambahan dalam ICT menjelang 2020.

Sebagai tambahan, Pelan Induk itu mengenal pasti tiga matlamat yang penting bagi sasaran strategik 1,800 pekerjaan tambahan, menjadikan kerjaya ICT satu pilihan kerjaya yang menarik bagi penduduk Brunei; melahirkan profesional-profesional yang berkemahiran tinggi; dan mencipta industri ICT yang berdaya saing di negara ini sebagai sumber peluang pekerjaan.

Untuk mencapai matlamat-matlamat itu, empat strategi dengan 21 program dan inisiatif telah dicadangkan. Strategi-strategi itu seperti menarik penduduk Brunei memasuki kerjaya ICT, mengasah lagi bakat yang sedia ada, dan mencipta peluang pekerjaan dalam ICT.

Menteri Perhubungan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Mustappa bin Haji Sirat dalam ucapannya ketika pelancaran Kertas Putih dan Pelan Induk berkata, Pelancaran Kertas Putih ICT Kebangsaan dan Pelan Induk Tenaga Kerja ICT adalah tepat pada masanya, ketika kita menumpukan perhatian dalam mempelbagaikan ekonomi negara.

Beliau juga berkongsi satu hasil kajian yang menunjukkan bahawa di negara-negara membangun sektor ICT menyumbangkan lima hingga 12 peratus kepada KDNK. Bagi Brunei pula, sumbangan itu mencapai 1.4 peratus pada tahun 2013.

“Meskipun dengan situasi ekonomi pada masa ini masih tidak menentu, stok IT terus bergerak dan menunjukkan prestasi yang baik, antara yang termahal dalam pasaran antarabangsa,” jelas Yang Berhormat Dato.

“Hakikat itu telah menambah keyakinan bahawa sektor ICT boleh dimajukan dan diperkembangkan, dan membuka peluang pelaburan dan pekerjaan untuk dipelopori khasnya oleh sektor-sektor swasta.”

Menurut Yang Berhormat Dato lagi, ICT merangkumi kesemua aspek kehidupan manusia dan sangat penting dalam meningkatkan taraf kehidupan dan kesejahteraan penduduk.

Sebagai satu alat, teknologi digital mampu menjana hasil kreativiti seperti multimedia, program-program digital atau sitem aplikasi mempunyai nilai yang tinggi kepada pengguna dan masyarakat.

Semua itu memberikan manfaat yang sangat besar kerana impaknya dalam meluaskan perhubungan melalui ruang siber dan memudahkan perubahan; memperkayakan simpanan pengetahuan dan maklumat; dan meningkatkan prestasi dengan pengurusan yang lebih efisien dan berkesan, tambah Yang Berhormat Dato.

“Secara ringkasnya, demi untuk menghasilkan sesuatu, ICT bergantung pada kapasiti, imaginasi, kreativiti dan kebolehan intelektual manusia,” ujar Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Mustappa.