Dua suspek bunuh ditahan

JAKARTA 12 Nov – Dua lelaki ditahan ekoran pembunuhan seorang lelaki warga Belanda selepas mayatnya ditemui di sebuah rumah yang terletak di Bali.

Mayat Robert Gilhooad, 80, ditemui pada 3 November di sebuah rumah sewa yang terletak di Jimbaran, tempat peranginan, selatan pulau tersebut.

Hasil dari autopsi menunjukkan warga Belanda itu dibunuh, menurut ketua penyiasat jenayah, Aris Purwanto.

“Mangsa mengalami kecederaan pada sebelah kiri kepala,” beritahunya kepada AFP, disyaki suspek menggunakan objek besi, tambahnya.

Dua suspek ditahan kerana mempunyai kaitan dengan jenayah tersebut, beritahu Purwanto tanpa mendedahkan nama suspek.

Polis percaya pembunuhan Gilhooad yang sudah lama menjadi penduduk tetap Bali dan tinggal seorang diri, bermotifkan wang.

Pembunuhan ini merupakan yang kedua dalam beberapa bulan yang berlaku di Jimbaran, sebuah kampung perikanan yang terkenal dengan restoran makanan laut. Pasangan tua warga Jepun telah ditemui dikelar dan terbakar di rumah mereka pada 4 September lalu.

Jenayah kecil sering berlaku di Bali, sebuah tempat popular bagi pelancong kerana terkenal dengan iklim tropikal dan pantai-pantai tetapi pembunuhan ngeri jarang berlaku. – AFP