Dua suspek cubaan rogol pelajar ditahan

Dua suspek cubaan rogol pelajar ditahan

MIRI, 10 Jan – Polis menahan dua suspek lelaki bagi membantu siasatan cubaan merogol seorang pelajar tingkatan empat semalam. Ketua Polis Miri ACP Khoo Leng Huat berkata, kedua-dua suspek itu berusia 18 dan 19 tahun berasal dari Taman Promin Jaya Miri.

“Kedua-dua suspek akan direman hari ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 376/511 Kanun Keseksaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tidak pula dinyatakan di mana kedua-dua suspek ditahan.

Pelajar perempuan yang berusia 16 tahun itu, patah kaki kiri dalam cubaan menyelamatkan diri semalam apabila melompat dari kereta yang ditumpangi bersama dua lelaki.

Seorang daripada suspek duduk bersama dengan mangsa di belakang kereta dan seorang lagi memandu ke arah Batu 1 Baram dan enggan menghantar mangsa balik ke rumah.

Khoo berkata, semasa dalam perjalanan tersebut, suspek yang duduk bersama dengan mangsa di belakang kereta, mula mengganggu mangsa.

“Mangsa membuat pilihan terjun dari kereta yang sedang bergerak menyebabkan mangsa mengalami kecederaan,” katanya.

Khoo berkata kedua-dua suspek menghantar mangsa ke Hospital Miri untuk mendapatkan rawatan.– Bernama

ARTIKEL YANG SAMA