Dua tahanan teluk Guantanamo dipindah

Dua tahanan teluk Guantanamo dipindah

WASHINGTON, 22 Jan (AFP) – Dua lagi tahanan dari penjara tentera Teluk Guantanamo dipindahkan sekali gus menjadikan baki mereka yang berada di pusat tahanan kontroversi itu kepada 91 orang, kata Pentagon.

Pentagon berkata, Tariq Mahmoud Ahmed Al Sawah dipindahkan ke Bosnia, manakala Abd al-Aziz Abduh Abdallah Ali Al-Suwaydi dihantar ke Montenegro.

Sawah adalah rakyat Mesir dan Bosnia serta Herzegovina manakala Al-Suwaydi berasal dari Yaman.

Pemindahan mereka menandakan satu lagi usaha pentadbiran Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama yang berhempas pulas untuk menutup penjara itu.

Kira-kira 780 tahanan dibawa ke situ sejak dibuka pada Januari 2002.

“Kerajaan Amerika Syarikat amat berterima kasih kepada kerajaan Montenegro atas dasar kemanusiaan dan kesanggupan untuk menyokong usaha AS menutup pusat tahanan Teluk Guantanamo,” kata Pentagon dalam kenyataan ketika mengumumkan pembebasan Al-Suwaydi. Al-Suwaydi, 41, didakwa ahli Al-Qaeda dan jurulatih bahan letupan.