Dua tahun mengadu, belum ada tindakan

Dua tahun mengadu, belum ada tindakan

Saya adalah seorang penerima rumah Skim Rancangan Perpindahan Negara RPN Kampung Tanah Jambu.

Memandangkan rumah kediaman saya mengalami beberapa masalah sejak mula-mula diperuntukkan rumah tersebut termasuklah keadaan tanah yang bertingkat di sebelah rumah jiran saya, siling garaj kereta mengalami kebocoran, dinding menuju laluan ke tingkat atas juga bocor dan dinding sebelah luar terdapatnya titisan air melalui tandas di bahagian atas rumah.

Saya segera menghubungi Bahagian Aduan, Jabatan Kemajuan Perumahan, menerangkan secara lebih lanjut mengenai masalah ini agar tindakan yang sewajarnya diambil.

Malangnya, setelah hampir dua tahun aduan dibuat, termasuklah menghubungi melalui telefon dan seterusnya berjumpa sendiri kakitangan Jabatan Kemajuan Perumahan, namun semua usaha dan ikhtiar saya sia-sia belaka. Ini kerana jawapan yang sering diberi, menunggu ‘quotation.’

Saya diarahkan untuk membuat aduan yang terkini lagi dan yang terakhir kali jawapan yang diberi menunggu PO (Arahan Pembelian). Sampai bilakah saya perlu menunggu pihak berkenaan untuk bertindak bagi memastikan masalah yang saya hadapi dapat dibaiki dan diberi perhatian yang sewajarnya.

Untuk pengetahuan bersama, tanah yang bertingkat di rumah kediaman jiran saya akan memasuki longkang dan laluan hadapan rumah saya apabila hujan dan longkang tersebut dipenuhi tanah lumpur dan air bertakung.

Siling garaj kereta yang bocor benar-benar membuat saya bimbang kerana terdapatnya lampu panjang dan ditakuti akan mengundang bahaya apabila air membasahi wayar-wayar elektrik.

Mengenai masalah dinding menuju laluan ke tingkat atas yang bocor dan dinding sebelah luar terdapatnya titisan air melalui tandas di bahagian atas rumah juga seharusnya diberi perhatian kerana saya telah membuat laporan kerosakan dan masalah ini berlaku sejak mula saya menerima anak kunci perumahan tersebut.

Saya kesal kerana hampir dua tahun berlalu aduan demi aduan telah saya buat dan saya melaporkan masalah saya secara bersemuka dan menghubungi melalui telefon namun sehingga ke hari ini keadaan masih juga tidak berubah malahan kerosakan rumah yang saya hadapi semakin bertambah.

Tambahan pula, rumah tersebut masih lagi di bawah tanggung jawab Jabatan Kemajuan Perumahan kerana kerosakan yang berlaku adalah semasa mula-mula saya diperuntukkan rumah tersebut.

Sehubungan dengan itu melalui ruangan ini saya memohon dan merayu kepada pihak-pihak yang berkenaan agar memberi sedikit perhatian mengenai aduan kerosakan rumah kediaman saya ini.

Pemilik rumah yang kecewa

ARTIKEL YANG SAMA