Dua wajah berbeza IS

Dua wajah berbeza IS

BEIRUT, 10 Julai (Agensi) – Ketika bulan suci Ramadan, kumpulan Negara Islam(IS) memperlihatkan dua wajah berbeza kepada berjuta-juta orang yang tinggal di bawah penguasaannya di Iraq dan Syria dengan menghulurkan makanan dan sedekah kepada orang miskin untuk menunjukkan kepatuhannya kepada semangat belas kasihan bulan ini sementara mengenakan hukuman kepada sesiapa yang didapati tidak berpuasa.

Dua pendekatan ini menunjukkan dasar yang diikuti oleh kumpulan pelampau ini sejak ia menguasai bahagian-bahagian besar di kedua-dua negara itu dan mengisytiharkan pemerintahan khalifah di wilayahnya tahun lalu.

Ia berusaha membina sokongan awam dengan menyediakan perkhidmatan dan bertindak sebagai kerajaan yang berfungsi, meskipun ia mengenakan undang-undang ketat Islam menerusi keganasan.

Di bandar Iraq, Mosul, bandar terbesar di bawah pemerintahan IS, mereka yang tidak berpuasa boleh dihukum dimasukkan ke dalam kurungan di kawasan terbuka selama beberapa jam atau beberapa hari, menurut seorang penduduk, yang merahsiakan identitinya dan hanya mendedahkan nama pertamanya, Omar, demi keselamatannya sendiri.

Di beberapa kawasan di Syria, mereka yang melanggar peraturan akan diikat pada palang kayu di tempat terbuka, menurut Pemerhati Syria bagi Hak Asasi Kemanusiaan yang memantau situasi di negara itu.

Gambar menunjukkan gerakan kumpulan IS di Baghdad, Iraq. – AFP
Gambar menunjukkan gerakan kumpulan IS di Baghdad, Iraq. – AFP

Penduduk dan aktivis lain melaporkan mereka yang tidak berpuasa disebat.

Ramadan, yang bermula pada pertengahan Jun dan akan berakhir minggu depan, adalah masa apabila umat Islam di seluruh dunia semakin mendekatkan diri mereka dengan Tuhan, menahan diri dari makan dan minum, tidak merokok dan mengadakan hubungan intim dari subuh hingga senja, dengan mendirikan solat terawih, membaca al-Quran, bersedekah kepada orang miskin dan mengukuhkan hubungan keluarga dan sahabat-sahabat.

Lazimnya suasana meriah selepas matahari terbenam, dengan para keluarga saling berkunjung antara satu sama lain atau berkumpul di kafe jalan raya, bermain permainan backgammon, kad atau menghisap hukah.

Di bandar Fallujah yang diperintah IS di barat Iraq, para penduduk telah dimaklumkan oleh pihak berkuasa kumpulan itu supaya tidak berkumpul di kedai kopi dan merokok dan bermain permainan adalah ditegah.

IS juga mengarahkan kaum lelaki mengenakan pakaian sederhana ketika Ramadan, yang bererti tidak memakai baju tanpa lengan atau seluar pendek, pakaian biasa bagi lelaki Iraq ketika cuaca panas di musim panas.

“Kami telah kehilangan suasana Ramadan indah yang kami terbiasa dengannya,” kata Mohammed Ahmed Jassim, seorang pekedai runcit berusia 52 tahun dan ayah kepada tiga orang anak di Fallujah.

“Sebelum ini, boleh diketahui Ramadan di setiap sudut bandar ini,” katanya.

“Kini semua orang tidak keluar rumah menantikan nasib mereka.”

ARTIKEL YANG SAMA