Dua wanita pertama sertai kadet marin BGC

Dua wanita pertama sertai kadet marin BGC

Oleh Imelda Groves HA

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 Ogos – Buat pertama kalinya, tahun ini Brunei Gas Carrier Sdn Bhd (BGC) membukakan program kadet untuk wanita dan hari ini seramai dua wanita adalah antara sem-bilan kadet baru yang menandatangani perjanjian mereka pada majlis yang berlangsung di salah sebuah hotel di Jerudong, di sini.

Mereka akan mengikuti pengajian peringkat HND dalam Kejuruteraan Marin dan Sains Nautika, Ijazah Asasi Kejuruteraan Marin dan Operasi Nautika di Kolej Maritim di United Kingdom, untuk Program Kadet Brunei Gas Carriers.

Pengarah Urusan BGC, Haji Shahbudin bin Haji Musa dalam ucapannya melahirkan kegembiraan dan mengucapkan tahniah kepada sembilan kadet baru, terutama kadet marin wanita pertama BGC yang menyertai tenaga kerja BGC Maritim dan satu hari nanti bakal menjadi Pegawai Marin syarikat tersebut.

“Saya berharap dan yakin bahawa kadet wanita ini akan dapat memikul tanggungjawab kerjaya di laut dan keluar dari program sebagai pegawai kadet dek perempuan pertama kami,” ujarnya.

Menurut beliau, daripada seramai 25 permohonan yang diterima, sembilan orang ditemu duga dan hanya tiga orang sahaja layak menyertai program ini, namun salah seorang daripadanya menarik diri.

Haji Shahbudin (tengah) bergambar ramai bersama penerima biasiswa Program Kadet BGC.
Haji Shahbudin (tengah) bergambar ramai bersama penerima biasiswa Program Kadet BGC.

Beliau menjelaskan, sejak pengambilan program pertama pada tahun 1999, BGC telah memiliki pelajar yang menamatkan pengajian HND dalam bidang Pengajian Nautika dan Kejuruteraan Marin, Foundation Degree Gerakan Marin dan Kejuruteraan Marin dan ada yang telah berjaya memperoleh Ijazah Kejuruteraan Marin dan Sains Gunaan Kejuruteraan Marin.

“Program Kadet adalah akademik hibrid dan kerja penempatan, yang masing-masing dikenali sebagai fasa akademik dan fasa laut. Tempat kerja ini terus kepada pendedahan sangat bermanfaat sebagai sebahagian daripada pembangunan keseluruhan bagi pelajar, yang sepatutnya melengkapkan pelajar dengan pengetahuan dan kemahiran praktikal apabila mereka lulus dari kolej bersama tenaga kerja,” ujarnya.

Sehingga ke hari ini, hasil daripada program tersebut, BGC kini memiliki 120 pegawai marin dan jurutera yang direkrut dari program kadet dan diperkembangkan melalui bakat BGC.

Sembilan kadet yang terpilih melalui siri penilaian yang agak sukar itu akan menyertai 38 kadet marin BGC yang lain yang telah pun berada di United Kingdom menjalani program yang sama.

Kadet-kadet yang terpilih itu terdiri dari Muhammad Danial Masyhadi bin Md Madini; Muhammad Assabiq bin Haji Rosli; Muhammad Faris bin Talif; Ed’zzry Nursyafienazz binti Ahmad Zaini; Noralina binti Zanidi; Nur Faizullizam bin Januddin; Muhammad Syafiq bin Asri; Muhammad Hidayatullah bin Awang Ahmad dan Saires bin Serungi.

Dalam temu bual ringkas bersama Ed’zzry Nursyafienazz yang meminati bidang ini sejak beliau di Tingkatan 4 lagi, melahirkan rasa syukurnya apabila BGC membukakan program tersebut untuk wanita buat pertama kalinya.

“Sebelum ini saya merasa kecewa kerana program ini tidak pernah dibukakan untuk wanita dan tepat pada masanya saya mendapat tahu mengenainya saya terus memohon program ini dan saya gembira kerana saya salah seorang yang terpilih dan menjadi wanita pertama bakal menjadi pegawai kadet marin nanti”, ujarnya.

Beliau yang berusia 18 tahun itu menjelaskan, dia telah bersiap sedia untuk menghadapi cabaran yang bakal ditempuhi tiga tahun mendatang dan beliau juga telah membuat persiapan diri untuk memberikan yang terbaik kepada BGC.

Dengan ucapan penghargaan kepada BGC beliau menyatakan kegembiraan dan sedikit gementar apabila terpilih dalam program ini namun beliau memiliki keyakinan untuk membuktikan bahawa wanita juga mampu melakukan apa yang lelaki lakukan.

Sementara itu, Muhammad Hidayatullah pula melahirkan kegembiraan dan rasa syukurnya apabila berjaya melalui siri penilaian yang agar sukar itu, dan tidak menyangka akan mendapat biasiswa dari BGC ini.

Ditanya mengenai persiapan beliau, beliau berkata telah bersiap sedia secara fizikal dan mental untuk melalui tiga tahun mendatang di UK dan beliau berharap akan balik dengan keputusan yang cemerlang dan membanggakan.

“Sebelum ini saya menuntut di Maktab Teknik Sultan Saiful Rijal dalam jurusan Kejuruteraan Mekanikal dan kini saya berjaya meneruskan kerjaya saya dengan BGC, Insya Allah,” jelasnya dengan yakin telah bersiap sedia dan berterima kasih kepada BGC kerana memilih beliau.

ARTIKEL YANG SAMA