Dua wanita Vietnam positif Zika

Dua wanita Vietnam positif Zika

HANOI, 5 April (AFP) – Dua wanita Vietnam telah diuji positif dijangkiti virus Zika, kata Kementerian Kesihatan hari ini, kes sah pertama jangkitan nyamuk di negara Asia Tenggara.

Media negeri melaporkan pesakit yang lebih muda itu sedang hamil. Seorang wanita berusia 64 tahun dari pantai peranginan popular Nha Trang menjadi kes sah pertama di negara setelah dimasukkan ke hospital mengadu demam, sakit kepala dan ruam di kakinya, kata kementerian dalam satu kenyataan.

“Beliau diuji positif dijangkiti virus Zika pada 31 Mac 2016 di Institut Pasteur Nha Trang,” dan keputusan telahpun disahkan oleh ujian seterusnya, kata kenyataan. Kes kedua adalah seorang wanita berusia 33 tahun yang tinggal di selatan pusat perniagaan Vietnam di Bandar Ho Chi Minh. “Beliau mengalami gejala termasuk ruam, konjunktivitis dan kelesuan,” kata kenyataan, menambah beliau diuji positif menghidapi Zika pada Khamis lalu. VnExpress, saluran media negeri, berkata wanita itu sedang hamil dua bulan.

Kedua-dua pesakit berada dalam keadaan stabil dan kementerian telah mengawasis audara dan kawan kedua-dua wanita namun “tidak mengesan sebarang kes lain’ virus berkenaan, yang telah dikaitkan dengan kadar microcephaly yang meningkat dalam anak damit yang dilahirkan oleh ibu yang dijangkiti.

Masih tidak jelas sama ada wanita berkenaan telah berkunjung ke luar negara. Vietnam telahpun menambah tahap amarannya ke atas virus itu selepas seorang pelancong Australia diuji positif selepas meninggalkan negara itu pada 6 Mac, kata akhbar Thanh Nien.

Zika disebar oleh nyamuk Aedes aegypti,yang juga menyebar demam denggi, dan pertama ditemui di Uganda pada 1947. Ia biasanya tidak mengancam nyawa tetapi telah dikaitkan dengan pertambahan dalam kecacatan ketika lahir, dengan beratus anak damit yang lahir dengan kepala kecil di negara di mana virus tersebar luas.

ARTIKEL YANG SAMA