Dua warga emas terima sumbangan kerusi roda

Dua warga emas terima sumbangan kerusi roda

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Julai – Kebajikan golongan yang kurang bernasib baik terus diberikan perhatian bukan sahaja daripada pihak kerajaan tetapi juga pihak swasta yang prihatin.

Dua warga emas yang kurang bernasib baik di Kampung Pudak, masing-masing telah menerima sumbangan kerusi roda daripada Syarikat Cityneon Displays & Construction Sdn Bhd dan Cityneon Interior & Furnishing Sdn Bhd, selain enam unit kipas siling bagi masjid kampung berkenaan.

Penyampaian sumbangan berkenaan, di majlis yang berlangsung di Kampung Pudak, hari ini, disempurnakan oleh Pengarah Urusan Cityneon Brunei, Dato Ting Jack Chai kepada Pemangku Ketua Kampung Pudak, Awang Sahari bin Durahim.

Turut hadir di majlis yang dianjurkan oleh Majlis Perundingan Kampung Pudak dengan kerjasama Pejabat Daerah Brunei Muara itu ialah pegawai-pegawai dari Pejabat Daerah Brunei Muara dan Cityneon Brunei.

Dato Ting Jack Chai menyampaikan sumbangan kerusi roda kepada salah seorang warga emas di kampung berkenaan.
Dato Ting Jack Chai menyampaikan sumbangan kerusi roda kepada salah seorang warga emas di kampung berkenaan.

Menurut Dato Ting Jack Chai, sumbangan itu merupakan salah satu daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat syarikatnya untuk membantu golongan yang memerlukan dan juga bersempena dengan bulan Ramadan yang penuh rahmat.