Dua warga Palestin maut di Tebing Barat

Dua warga Palestin maut di Tebing Barat

BAIUTLMUQADDIS, 27 Nov (AFP) – Dua orang Palestin maut termasuk seorang ditembak dalam dua kejadian berasingan semalam di Tebing Barat, dalam pada Israel mengumumkan perancangannya membina pagar baru berhampiran Hebron dalam usaha meredakan keganasan sejak dua bulan lalu.

Dalam kejadian pertama, rusuhan ganas tercetus ketika tentera Israel menyerbu pekan Qattana pada malam sebelumnya untuk mencari peluru dan senjata serta menahan beberapa orang disyaki penyerang.

Penduduk membalas dengan membaling bom api dan batu. Yehya Taha, 21, terkena tembakan di kepala sebelum meninggal dunia di hospital di Ramallah, kata jurucakap kementerian kesihatan Palestin, Mohammed Awawdeh.

Petang semalam, pengawal sempadan Israel menembak mati seorang lelaki Palestin membawa pisau berhampiran Nablus. Jurucakap polis Luba Samri berkata, lelaki itu keluar dari teksi berhampiran pos tentera berkenaan dan menyerang anggota di situ dengan pisau.

Keadaan kereta yang merempuh tentera Israel di sebuah stesen bas di Tebing Barat. – Reuters
Keadaan kereta yang merempuh tentera Israel di sebuah stesen bas di Tebing Barat. – Reuters

Katanya, tiada orang Israel cedera dalam serangan itu.Kementerian kesihatan Palestin mengenal pasti mangsa sebagai Samir Seresi, 51. Dua kejadian itu yang terbaru dalam beberapa siri keganasan sejak dua bulan lalu.

Dalam satu lagi kejadian berasingan, seorang rakyat Palestin telah ditembak mati selepas merempuh tentera Israel dengan sebuah kereta di sebuah stesen bas di Tebing Barat, kata polis.

“Sebuah kereta rakyat Palestin merempuh dua anggota tentera Israel yang berada di sebuah stesen bas. Pengganas itu ditumpaskan,” kata polis.