Dua wartawan kena bunuh di Mexico

Dua wartawan kena bunuh di Mexico

OAXACA, Mexico, 3 Julai (AFP) – Seorang wartawan ditembak mati ketika beliau meninggalkan stesen radionya di selatan Mexico semalam sementara wartawan kedua dibunuh di timur negeri, menurut para pegawai.

Filadelfo Sanchez Sarmiento sedang keluar selepas rancangan radio pagi di stesen La Favorita 103.3 FM apabila dua lelaki menembaknya di Miahuatlan, selatan negeri Oaxaca, kata pendakwa.

Pihak berkuasa melancarkan satu operasi untuk menangkap dua suspek.

“Pihak berkuasa Mexico mesti menyiasat pembunuhan ini secara menyeluruh dan mengemukakan satu motif – termasuk sebarang hubungan dengan kewartawanan – dan membawa mereka yang bertanggungjawab ke muka pengadilan,” kata Carlos Lauria, pengarah program Amerika Jawatankuasa Melindungi Wartawan yang berpangkalan di New York.

“Jenayah ini tidak boleh menjadi salah satu daripada berpuluh pembunuhan wartawan yang tidak diselesaikan di Mexico, yang mempunyai salah satu kadar pembebasan daripada hukuman yang paling teruk di dunia,” kata Lauria.

Beliau adalah wartawan ketiga yang dibunuh di Oaxaca sejak April.

Dalam kejadian berasingan, seorang blogger dibunuh di timur negeri Veracruz, tetapi tidak adanya butir-butir mengenai bagaimana dia mati.

Suruhanjaya untuk Perlindungan dan Perhatian Wartawan, sebuah badan kerajaan, berkata kematian Juan Mendoza Delgado, yang ditemui terbunuh pada Rabu, diisytiharkan sebagai satu “homisid.”

Mendoza Delgado adalah pengarah laman web bergelar “Menulis Kebenaran” dan seorang bekas wartawan jenayah di sebuah akhbar tempatan.