Dua wartawan Perancis dihantar pulang

JAKARTA, Indonesia, 19 Mac – Indonesia telah menghantar pulang dua wartawan Perancis kerana melakukan kesalahan pencabulan visa ketika membuat penggambaran filem dokumentar di wilayah timur Indonesia Papua, kata seorang pegawai hari ini.

Wartawan berkenaan, Jean Frank Pierre dan Basille Marie Longhamp, dihantar pulang pada Jumaat menerusi lapangan terbang Mozes Kilangin di Timika, kata jurucakap pejabat imigresen Agung Sampurno.

Pasangan itu sedang mengusahakan “The Explorers,” satu projek mengenai alam sekitar, kebudayaan dan tarikan lain di beberapa lokasi di wilayah Indonesia di kawasan barat New Guinea. Wilayah Papua, bekas jajahan Belanda, adalah terkenal dengan biodiversiti dan simpa-nan perlombongan besar serta gerakan pemisah di kalangan penduduk aslinya, dan wartawan asing menghadapi sekatan ketika bekerja di sana.

Sampurno berkata kedua-dua wartawan Perancis mempunyai visa biasa tanpa dokumen perlu daripada institusi berkaitan.

Beliau memetik ketua imigresen tempatan Jesaya Samuel Enock sebagai berkata aktiviti wartawan adalah tidak wajar, memandangkan mereka ditaja oleh syarikat penerbangan negara Garuda Indonesia, tetapi mereka telah memulakan kerja pada minggu lalu sementara dokumen mereka masih sedang diproses. Enock berkata mereka diharamkan daripada memasuki Indonesia untuk enam bulan akan datang.

Kedua-dua wartawan berkenaan menghadiri sidang media polis Indonesia sebelum diusir keluar dari negara berkenaan. – AFP
Kedua-dua wartawan berkenaan menghadiri sidang media polis Indonesia sebelum diusir keluar dari negara berkenaan. – AFP

Media tempatan melaporkan Pierre dan Longhamp ditahan apabila mereka sedang mengambil gambar Cartenz menggunakan sebuah helicopter sewa. Mereka juga merancang mengambil gambar di lokasi di wilayah berhampiran di Papua Barat.

Fabio Maria Lopes Costa daripada Gabungan Wartawan Bebas mengecam deportasi mereka sebagai bercanggahan dengan dasar Presiden Joko Widodo untuk membenarkan wartawan asing membuat liputan di wilayah tersebut.

Pierre dan Longhamp adalah kumpulan ketiga wartawan Perancis yang dihantar pulang atau didenda kerana membuat liputan tidak dibenarkan di Papua sejak 2010.

Dua wartawan televisyen ditahan pada 2014 atas pencabulan visa pelancong dan dijatuhi hukuman penjara dua setengah bulan kerana membuat laporan tidak sah di Papua.

Pada 2010, dua wartawan ditahan dan seterusnya dihantar pulang setelah membuat liputan mengenai rapat hak asasi manusia oleh 100 pelajar.

Wartawan asing seterusnya dilarang daripada membuat liputan di Papua melainkan mereka menerima permit kerajaan. – AP