Dubsmash kurangkan tekanan

Dubsmash kurangkan tekanan

pg18_150729_b

KUALA LUMPUR, 28 Julai (Bernama) – Video aplikasi ‘Dubsmash’ yang kini menjadi kegilaan warga netizen di laman Facebook dan Instagram sejak kebelakangan ini dilihat sebagai platform untuk mengurangkan tekanan.

Pakar Perunding Psikiatri Prof Madya Dr Muhammad Muhsin Ahmad Zahari berkata aplikasi ‘lip syncing’ yang membolehkan pengguna telefon pintar memilih senarai petikan yang disediakan seperti lagu dan rakaman audio daripada filem dalam pelbagai bahasa untuk rakaman sendiri itu membantu mewujudkan persekitaran yang sihat antara pengguna media sosial.

“Ia sudah menjadi kebiasaan bagi masyarakat Malaysia untuk berkongsi saat-saat kegembiraan dengan orang lain melalui rangkaian media sosial. Video dubsmash ini menjadi lebih viral pada musim perayaan sehingga ada yang memberi ucapan dengan menggunakan aplikasi itu,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Bagaimanapun, beliau yang juga Pensyarah Jabatan Perubatan Psikologi Universiti Malaya berkata individu yang memuat naik lebih tiga video sehari berkemungkinan terjebak dengan fobia sosial.

“Tidak boleh dinafikan bahawa terdapat segelintir peminat dubsmash ini sebenarnya fobia sosial…mereka takut dan berasa kurang selesa untuk bersosial, jadi mengambil jalan untuk bersosial ‘sehala’ seperti muat naik video sebegini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Program Kerja Sosial, Pusat Pengajian Psikologi dan Pembangunan Manusia, Universiti Kebangsaan Malaysia Dr Mohd Suhaimi Mohamad berkata demam dubsmash yang melanda generasi Y mendatangkan pelbagai implikasi positif walaupun ia hanya trend sementara.

Beliau berkata peminat aplikasi itu terdedah kepada tiga kesan positif iaitu dari segi fizikalogi, psikologi dan sosiologi.

“Melalui video dubsmash ini, mereka dapat mewujudkan rantai sosial yang sihat kerana mereka mungkin akan mendapat banyak ‘like’ dan ‘followers’. Ia akan membantu untuk mendapatkan lebih ramai kawan.”

ARTIKEL YANG SAMA