Dufner juarai cabaran golf CareerBuilder

Dufner juarai cabaran golf CareerBuilder

CALIFORNIA, 25 Jan – Jason Dufner menyambar gelaran pertama dalam tempoh lebih dua tahun selepas mengharungi detik mendebarkan dalam aksi playoff saingan golf Cabaran CareerBuilder sebelum menang ke atas David Lingmerth, di Quinta, awal pagi tadi.

Pemburuan gelaran kedua bagi Lingmerth dari Sweden lebur selepas mencatat bogey berganda pada lubang ke-18, susulan pukulan awalnya menjunam ke dalam tasik, manakala Dufner mengamalkan permainan selamat untuk catatan par.

Kedua-dua pemain terikat pada pusingan playoff pertama, juga pada lubang yang sama sebelum itu.

Dufner yang meraih gelaran jelajah keempatnya, hampir melihat bola pukulan tee bergolek masuk ke dalam air pada lubang ke-17. Bagaimanapun, bolanya berhenti di kawasan lapang di sebelah batu dan hayunannya daripada situ hampir menghadiahkan catatan birdie sebelum berakhir dengan catatan par.

“Saya fikir ia menuju ke dalam air,” kata pemain golf berusia 38 tahun itu kepada Golf Channel. “Saya begitu bernasib baik. Kadang-kadang perkara seperti itu akan berlaku, anda memerlukannya berlaku untuk menang selepas melakukan pukulan yang lemah.

Bekas Presiden AS, Bill Clinton menyerahkan piala kejohanan kepada Jason Dufner. – Reuters
Bekas Presiden AS, Bill Clinton menyerahkan piala kejohanan kepada Jason Dufner. – Reuters

“Saya bernasib baik untuk berada pada kedudukan ini dan gembira untuk bermain golf dengan baik,” tambah Dufner yang kali terakhir merangkul gelaran pada Kejuaraan PGA 2013.

Bekas juara dua kali, Phil Mickelson, yang mengambil bahagian dalam acara pertama sejak Piala Presiden Oktober lalu, melakar catatan 68 pukulan untuk berkongsi tempat ketiga dengan catatan 21 bawah-par bersama-sama Andrew Loupe (68) and Kevin Na (68). – AFP

ARTIKEL YANG SAMA