Duke of York hadir majlis peringatan sempena persidangan RCEL

Duke of York hadir majlis peringatan sempena persidangan RCEL

KUALA LUMPUR, 26 Jun (Bernama) – Duke of York Putera Andrew hari ini menghadiri majlis peringatan sempena Persidangan Liga Diraja Bekas Askar Negara-negara Komanwel (RCEL) ke-32 di Tugu Negara di sini.

Putera Andrew yang juga Presiden Utama RCEL, tiba pada 10:35 pagi dan mengadakan sesi bergambar bersama 115 anggota RCEL dan meletakkan kalungan bunga sebelum berakhirnya majlis peringatan itu.

RCEL adalah sebuah badan amal Komanwel dengan keahlian 57 organisasi dari 50 negara Komanwel dan menyediakan kebajikan untuk 40,000 bekas tentera Komanwel di negara-negara anggota.

Majlis itu turut dihadiri oleh Presiden Persatuan Bekas Askar British Malaysia (PBAB) Che Onn Neamat dan Setiausaha Agungnya Lt Kol (B) Christopher Warren.

Menurut Christopher, RCEL menganjurkan persidangan untuk perwakilan dari anggota organisasi setiap empat tahun dan tahun ini, Malaysia dipilih sebagai tuan rumah bagi persidangan ke-32, yang berlangsung mulai hari ini hingga 29 Jun.

Duke of York, Putera Andrew ketika memberi penghormatan selepas meletakan kalungan bunga pada tugu peringatan Tugu Negara Cenotaph Kuala Lumpur. – Bernama
Duke of York, Putera Andrew ketika memberi penghormatan selepas meletakan kalungan bunga pada tugu peringatan Tugu Negara Cenotaph Kuala Lumpur. – Bernama

Christopher berkata ini kali pertama persidangan itu diadakan di Malaysia selepas ia berlangsung di Malta pada 2012.

“Che Onn menyertai persidangan di Malta empat tahun lepas, dan beliau mencadangkan Malaysia dan mendapat sokongan majoriti anggota Komanwel.

“Che Onn melakukan tugas dengan baik dengan berkata delegasi akan berasa sangat dialu-alukan ketika berada di negara ini,” katanya kepada pemberita selepas majlis peringatan itu.

Sementara itu, Che Onn ketika ditemui pemberita berkata RCEL telah membantu bekas tentera British seperti beliau mendapatkan bantuan dana kebajikan.

“Dengan penubuhan persatuan kami (PBAB) serta bantuan RCEL dan United Kingdom, kami mendapat dana yang memberi manfaat kepada hampir 200 bekas tentera British yang sudah tua dan uzur hari ini,” katanya.