Dumoulin pendahulu Jelajah Sepanyol

Dumoulin pendahulu Jelajah Sepanyol

MADRID, 10 Sept – Pelumba Belanda, Tom Dumoulin mendahului pada Jelajah Sepanyol apabila dia menewaskan pencabar utamanya dalam masa percubaan peringkat ke-17 semalam untuk menempatkan dirinya dalam kedudukan yang mantap untuk mencabar kemenangan jelajah.

Salah seorang peserta percubaan teratas di dunia, pelumba Giant-Alpecin, Dumoulin mencatat masa 46 minit dan satu saat dalam perlumbaan 38-km di Burgos untuk menewaskan pemimpin semalaman Joaquim Rodriguez dari Sepanyol (Katusha), pelumba Itali Fabio Aru dari Itali (Astana) dan pelumba Poland Rafal Majka (Tinkoff-Saxo).

Dengan empat peringkat tinggal dalam perlumbaan tiga minggu, pelumba berusia 24 tahun daripada Maastricht itu memegang jersi merah pemimpin dengan kelebihan masa tiga saat ke atas Aru di tempat kedua.

Aru hanya dua minit lebih perlahan daripada Dumoulin dalam masa percubaan dan akan memanfaatkan keupayaan mendakinya dalam peringkat yang tinggal tatkala dia berusaha mempertingkat kedudukan keduanya dalam perlumbaan Giro d’Italia pada tahun ini.

“Masih terdapat empat peringkat yang tinggal,” beritahu Aru kepada wartawan. “Perlumbaan Vuelta masih belum berakhir.”

Aksi Tom Dumoulin tatkala melepasi garisan penamat sekali gus memenangi peringkat ke-15 jelajah berbasikal Vuelta Espana 2015 di Burgos pada 9 September 2015. – AFP
Aksi Tom Dumoulin tatkala melepasi garisan penamat sekali gus memenangi peringkat ke-15 jelajah berbasikal Vuelta Espana 2015 di Burgos pada 9 September 2015. – AFP

Rodriguez ketinggalan lebih tiga minit dalam kedudukan ketiga pada keseluruhannya dan Majka ketinggalan dua setengah minit di belakang di tempat keempat.

Dumoulin, pelumba Belanda pertama sejak Joop Zoetemelk pada Tour de France 1980 untuk memimpin jelajah utama dalam minggu terakhir, mengakui masih terdapat banyak yang perlu dilakukan.

“Sudah tentunya Vuelta ini belum berakhir lagi,” beritahunya kepada wartawan.

“Saya masih belum memikirkan mengenai apa yang mungkin berlaku dalam tempoh beberapa hari akan datang dan saya mahu merai kemenangan ini bersama rakan sepasukan saya,” tambahnya.

“Saya tidak risau mengenai mana-mana peringkat yang tinggal tetapi esok adalah perlumbaan paling sukar dan Astana akan berusaha sedaya upaya untuk merebut jersi pemimpin saya.” – Reuters

ARTIKEL YANG SAMA