DUN baharu bakal pacu pembangunan parlimen Kinabatangan

DUN baharu bakal pacu pembangunan parlimen Kinabatangan

KINABATANGAN, 2 Ogos – Pewujudan sebuah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) baharu di Parlimen Kinabatangan bakal memacu pembangunan di kawasan berkenaan secara seimbang.

Anggota Parlimen Kinabatangan Datuk Bung Moktar Radin berkata kawasan baharu dikenali sebagai kerusi Bukit Garam itu, antara DUN baharu diwujudkan menerusi persempadanan semula DUN Sabah, yang akan dilakukan tidak lama lagi.

Beliau berkata Parlimen Kinabatangan mempunyai keluasan 1,759,380 hektar dengan mempunyai dua DUN setakat ini iaitu Sukau dan Kuamut.

“Kawasan Parlimen Kinabatangan yang luas menyukarkan pelaksanaan pembangunan secara menyeluruh.

“Penambahan satu lagi DUN di Parlimen Kinabatangan akan dapat memacu pembangunan yang seimbang antara wilayah,” katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Parlimen Kinabatangan di sini, hari ini.

Semalam, Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Sabah Datuk Idrus Ismail dipetik sebagai berkata perkara berkaitan kerusi tambahan diserahkan kepada DUN Sabah yang dijadualkan bersidang pada 8 Ogos ini.

Dijangka terdapat pertambahan 11 hingga 13 kerusi di DUN Sabah jika Rang Undang-undang mengenainya diluluskan pada persidangan DUN tersebut.

Bung Moktar yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Kinabatangan, berkata soal parti komponen BN yang akan mewakili kawasan DUN baharu itu setelah diwujudkan kelak, belum diputuskan setakat ini. – Bernama