DUN Sabah memperingati mangsa culik

DUN Sabah memperingati mangsa culik

KOTA KINABALU, 20 Nov (Bernama) – Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini bertafakur selama seminit bagi memperingati Bernard Then Ted Fen, mangsa culik yang dipenggal kepalanya oleh kumpulan Abu Sayyaf, Selasa lepas.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman mengajak seluruh anggota DUN untuk bersama-sama bertafakur, sebelum beliau memulakan persidangan bagi membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan 2016.

Then, 39, seorang jurutera elektrik dari Sarawak, dilaporkan dipenggal kepalanya pada kira-kira 4 petang, Selasa lepas, di kubu kuat Abu Sayyaf yang terpencil di Jolo, wilayah Sulu, kira-kira 1,400km selatan Manila.

Then dan seorang wanita, Thien Nyuk Fun, 50, diculik empat lelaki bersenjata yang menyerbu Restoran Ocean King di Sandakan pada 7.45 malam 14 Mei lepas. Bagaimanapun, pada 8 Nov, Thien, pengurus restoran itu, dibebaskan oleh penculiknya berikutan rundingan antara pihak berkuasa Malaysia dan kumpulan penculiknya.

Semalam, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar memaklumkan polis Malaysia dan Filipina akan bekerjasama rapat dalam menjalankan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) untuk menentukan sama ada mayat yang dijumpai di selatan Filipina adalah Then.