DUN Sarawak bubar 11 April

DUN Sarawak bubar 11 April

KUCHING, 31 Mac (Bernama) – Dewan Undangan Negeri Sarawak akan dibubarkan pada 11 April untuk memberi laluan bagi diadakan pilihan raya negeri ke-11.

Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem, yang akan menerajui Barisan Nasional Sarawak buat pertama kalinya dalam pilihan raya negeri, membuat pengumuman tentang pembubaran itu pada 2 petang hari ini di pejabatnya di Wisma Bapa Malaysia di sini.

Beliau memberitahu sidang media:” Yang Dipertua Negeri, Tun Abdul Taib Mahmud, telah bersetuju bagi pembubaran itu.” Adenan sebelum itu menghadap Yang Dipertua Negeri di kediamannya Demak Jaya, di sini.

Pengisytiharan pembubaran itu, ditandatangani oleh Yang Dipertua Negeri, akan diserahkan kepada Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar yang akan memaklumkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya, yang akan menetapkan tarikh bagi penamaan calon dan pengundian.

Menurut Klausa 4 Perkara 55 Perlembagaan Persekutuan, pilihan raya negeri perlu diadakan dalam tempoh 60 hari selepas pembubaran Dewan Undangan Negeri.

Tan Sri Adenan Satem (kanan) pada sidang media mengumumkan bahawa Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud bersetuju membubarkan Dewan Undangan Negeri pada 11 April. Di sebelah kanan Adenan, Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Alfred Jabu Numpang. – Bernama
Tan Sri Adenan Satem (kanan) pada sidang media mengumumkan bahawa Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud bersetuju membubarkan Dewan Undangan Negeri pada 11 April. Di sebelah kanan Adenan, Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Alfred Jabu Numpang. – Bernama

Ketua Menteri Sarawak kelima berumur 72 tahun itu akan berdepan persaingan sengit.

BN menguasai 55 daripada 71 kerusi dalam Dewan Undangan Negeri sekarang, DAP DAP 12 dan PKR tiga. Terdapat seorang wakil Bebas.

Pada kali ini, akan terdapat 11 kerusi baharu susulan persempadanan semula kawasan pilihan raya oleh SPR pada tahun lepas.

Adenan telah manfaatkan kerusi baharu berkenaan untuk menyelesaikan masalah berhubung pengagihan kerusi kepada SUPP dan SPDP serta parti serpihan masing-masing, UPP dan Teras yang mesra BN.

Adenan, yang merupakan lulusan undang-undang dari University of Adelaide, akan menerajui pilihan raya negeri dengan rating sokongan yang amat tinggi, disanjung tinggi bagi tindakan serta perancangan beliau untuk negeri.