Dunga salahkan virus

Dunga salahkan virus

CONCEPCION, Paraguay, 28 Jun (AFP) – Jurulatih Brazil Dunga menyalahkan virus misteri selepas pasukan dikejutkan Paraguay dalam suku akhir aksi Copa Amerika semalam ketika negara bola sepak yang paling berjaya di dunia itu bergelut untuk mencerna satu lagi kemunduran lain kejohanan.

Dunga berkata seramai 15 anggota pasukannya terjejas akibat virus, yang menurut beliau telah mengganggu persediaan ke suku akhir menentang Paraguay.

“Saya tidak membuat alasan tetapi sekitar 15 pemain dijangkiti virus yang mengehadkan latihan kami,” kata Dunga.

“Ada yang sakit kepala, sakit belakang dan sakit badan. Beberapa lagi terpaksa mengurangkan latihan dan ada yang muntah-muntah. Hari ini adalah permainan di mana kami memerlukan kepantasan dan kami gagal menguasainya,” katanya.

Penjelasan Dunga itu menimbulkan kekeliruan di kalangan ahli pasukannya dengan midfield Filipe Luis memberitahu pemberita beliau tidak mengetahui apa-apa penyakit secara besar-besaran di kalangan rakan sepasukan.

“Saya tidak tahu apa-apa tentang itu,” kata pemain Chelsea itu. “Beberapa pemain lain mungkin mempunyai masalah tetapi saya tidak.”

Penjaga gol Jefferson bagaimanapun menyokong pengurusnya.

“Semua orang bangun dengan demam, sakit kepala dan sakit badan,” katanya berhubung masalah yang mempengaruhi hasil permainan Selecao.

Brazil tersingkir pada peringkat suku akhir Copa America kepada Paraguay dua kali berturut-turut sebelum ini, juga menerusi penentuan penalti.

ARTIKEL YANG SAMA