Dunia sukan bersatu padu bersama Belgium

Dunia sukan bersatu padu bersama Belgium

BRUSSELS, 23 Mac (AFP) – Dunia sukan pantas menyatakan perpaduan mereka dengan mangsa serangan pengganas di Brussels Selasa lalu yang boleh menjadikan jadual sukan di negara itu kucar-kacir.

“Terkejut dan memberontak. Orang yang tidak bersalah menjadi mangsa lagi. Fikiran saya bersama keluarga mangsa. #Brussels,” kapten bola sepak Belgium Vincent Kompany menulis di Twitter.

“Saya harap Brussels bertindak dengan maruah. Kita semua terasa tetapi harus menolak dan mengutuk kebencian serta pelakunya sekeras yang mungkin.”

Kira-kira 35 orang terbunuh selepas dua letupan berlaku di lapangan terbang Zaventem di Brussels dan letupan ketiga berlaku di stesen metro Maelbeek berhampiran ibu pejabat EU.

Kumpulan Negara Islam mendakwa bertanggungjawab bagi serangan itu hanya beberapa hari selepas penangkapan warga Perancis kelahiran Belgium, Salah Abdeslam yang terbabit dalam serangan di Paris November lalu di mana 130 orang terbunuh dan lebih 350 cedera.

Pasukan bola sepak Belgium yang akan menentang Portugal untuk aksi persahabatan dalam masa seminggu di Brussels, berperap di sebuah hotel berhampiran lapangan terbang. Latihan mereka pada petang Selasa dibatalkan.

“#touseensemble, fikiran kami bersama mangsa. Bola sepak tidak penting hari ini. Latihan dibatalkan,” kata persekutuan bola sepak melalui akaun Twitter Red Devils Belgium.

Jurulatih Marc Wilmots menyarankan supaya “kita kekal kuat bersama-sama. Fikiran saya sentiasa bersama keluarga mereka yang terbunuh atau cedera”.

“Sukar dipercayai!” tulis Kevin De Bruyne di Twitter. “Ingatan dan doa saya untuk semua mereka yang terjejas oleh serangan ngeri di bandar kami,” kata Divock Origi. “Saya tidak dapat mempercayai apa yang berlaku pagi ini. Fikiran saya bersama mangsa, keluarga, rakan-rakan dan orang tersayang,” kata Thomas Vermaelen.

ARTIKEL YANG SAMA