Duo negara juarai Petanque Terbuka

Oleh Mohamad Asyramisyanie

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Sept – Gandingan hebat Mohd Mazlan Haji Yahya dan Wirna Haji Mohd Yassin membuahkan hasil apabila tampil juara dalam Kejohanan Petanque Terbuka Double Brunei 2017 yang berlangsung di Kompleks Petanque Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas, hari ini.

Gandingan Brunei berkenaan menewaskan duo pasukan Sabah yang diwakili Roney Ahmad dan Mohamad Jafri Mat Idin dengan mata 13-2 dan menyaksikan kedua-dua pasukan saling bersaing sehingga ke lontaran terakhir yang berpihak di tangan tuan rumah di sini.

Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyempurnakan penyampaian hadiah ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Haji Noor Jusmin bin Haji Abdul Samad.

Laluan pasukan negara ke peringkat akhir dalam kejohanan kali ini bermula di peringkat kalah mati apabila mengalahkan pasukan Sabah 9 dengan mata 13-2 sebelum menewaskan pasukan Miri 2 dengan mata 7-2 di peringkat suku akhir.

Dalam perlawanan separuh akhir pula pasukan negara menumpaskan pasukan Limbang JR dengan mata 13-1 sebelum melangkah ke peringkat akhir menentang pasukan Sabah 7 dan sekali gus muncul juara.

Haji Noor Jusmin bergambar ramai bersama semua pasukan yang menyertai Kejohanan Petanque Terbuka Double Brunei 2017.
Mohd Mazlan dan Wirna yang tampil juara dalam kejohanan berkenaan.

Pasukan Sabah 7 pula pada peringkat kalah mati pada mulanya mengalahkan Brunei 4 dengan mata 11-8 sebelum menewaskan pasukan Brunei 5 dengan mata 7-5 di peringkat suku akhir dan di peringkat separuh akhir menewaskan pasukan Pacific Pirates dari Australia di pusingan penentuan. Johan Piala Sumbangsih dalam kejohanan kali ini ialah pasukan Sabah 2 apabila menewaskan pasukan Bazooka JR 2.

Di akhir majlis turut menyaksikan penyampaian cenderahati kepada Ketua Teknikal Arbiter, Zubir bin Mohd Tan dan Ketua Teknikal Meja Pertandingan, Mohd Mohidin bin Ahmad Junid yang dijemput daripada Persatuan Petanque Negeri Sembilan.

Mengulas mengenai kejayaan pasukannya, Mohd Mazlan menegaskan rasa gembira atas rezeki dan pencapaian yang dicapai dan berasa latihan sebelum ini sangat berbaloi.

“Pasukan Sabah 7 bukan pasukan yang mudah dijinakkan dan pada saya kami selalu mengingati saranan dan nasihat jurulatih kepada kami semasa latihan dan fokus serta kerjasama dalam pasukan adalah resipi kejayaan,” ujarnya.

Menurutnya, cuaca panas hujan adalah cabaran terbesar dan pasukan daripada Australia merupakan pencabar utama dalam kejohanan namun padanya pasukannya sangat bertuah untuk mengharungi pasukan jemputan itu dengan jaya.

Meskipun sudah bersara daripada perlawanan domestik namun beliau sangat gembira untuk terus berlatih setiap hari untuk mendalami pengalaman dan teknik.

Beliau juga berharap supaya lebih ramai golongan belia mahu menceburi sukan petanque ini dan menyatakan komitmennya untuk berganding bahu bersama pihak persekutuan memperluaskan lagi sukan berkenaan di negara ini.