Dustin Johnson juarai Terbuka AS

Dustin Johnson juarai Terbuka AS

OAKMONT, 20 Jun (AFP) – Dustin Johnson menjuarai saingan golf Terbuka Amerika Syarikat dengan penuh bergaya selepas bangkit daripada ketinggalan empat pukulan untuk menyambar gelaran major pertama di Oakmont, sebentar tadi.

Jaguh nombor enam dunia itu mengambil alih kedudukan peneraju dengan membenam dua birdie di sembilan lubang pertama tatkala peneraju semalam, Shane Lowry pula memperagakan pukulan kurang memberangsangkan pada hari terakhir.

Johnson yang mencatat empat di bawah par 68 mengumpul keseluruhan 275 pukulan untuk selesa mengatasi pemenang tempat kedua yang dikongsi bersama Jim Furyk, Scott Piercy dan Shane Lowry dengan kelebihan empat pukulan.

Bagaimanapun, kejayaan Johnson sedikit dicemari kemungkinan dia akan dikenakan penalti satu pukulan kerana didakwa sengaja menggerakkan bola sebelum melakukan pukulan.

Namun keputusan itu sama sekali tidak akan menyebabkan kejuaraan terlucut daripada tangannya berikutan faktor kemenangan selesanya itu.

Sekiranya dikenakan penalti itu, Johnson akan dikira memenangi kejohanan dengan sekadar kelebihan tiga pukulan.

Terdahulu, Johnson diberitahu pada lubang ke-12 oleh Persatuan Golf AS bahawa dia mungkin dikenakan penalti berikutan insiden sengaja menggerakkan bola di lubang kelima.

Bola Johnson kelihatan berubah kedudukan tatkala pemain AS itu bersiap sedia untuk melakukan pukulan putt.

Dia bagaimanapun menafikan bahawa dia menjadi punca mengapa bola itu berubah kedudukan sekali gus menyaksikan pegawai yang mengikuti kumpulannya memutuskan tidak mengambil sebarang tindakan.

Namun, tujuh lubang selepas itu dia diberitahu bahawa video insiden itu akan disemak semula selepas tamat saingan hari terakhir.