Duta Amerika sanggup berbasikal ke Singapura demi alam sekitar

Duta Amerika sanggup berbasikal ke Singapura demi alam sekitar

PUTRAJAYA, 31 Mei (Bernama) – Walaupun terdapat cara lebih mudah untuk mencapai hasratnya, namun Joseph Y.Yun memilih menunggang basikal sejauh 411km dari Putrajaya ke Singapura untuk bertemu orang ramai bagi meningkatkan kesedaran mereka tentang kepentingan memulihara alam sekitar.

Dengan berpakaian baju T berwarna biru terang, hijau dan kelabu serta seluar pendek berwarna hitam, Duta Besar Amerika di Malaysia itu dengan penuh bersemangat memulakan kayuhannya pada 8.30 pagi ini dari Pullman Hotel di sini bagi tujuan itu.

Yun mengetuai sekumpulan 15 warga kedutaan itu bersama anggota keluarga masing-masing dalam penjelajahan enam hari dengan menunggang basikal bersempena sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia pada 5 Jun. Pengembaraan mereka dijadualkan berakhir di Singapura pada tarikh itu.

“Kedutaan Amerika di Kuala Lumpur telah mengambil pelbagai langkah sejak beberapa tahun lepas bagi mengurangkan penggunaan tenaga. ‘Pasukan Hijau’ kedutaan kami, dengan moto ‘Go Green Lah’, sentiasa mencari cara inovatif untuk mewujudkan kedutaan yang lebih hijau dan lebih mesra alam.

“Melalui inisiatif tersendiri ini, kami ingin mewujudkan contoh bagaimana orang ramai boleh digalakkan meningkatkan kesedaran mereka ke arah mencapaimatlamat seperti mengurangkan kesesakan lalu lintas, pencemaran udara danpengeluaran gas rumah hijau,” katanya kepada Bernama sebelum meninggalkan hotel itu bersama kumpulannya.

Duta Besar Amerika Syarikat ke Malaysia Joseph Y. Yun (kanan) bersama 15 kakitangan kedutaan dan ahli keluarga mereka memulakan kayuhan ke Singapura sempena Hari Alam Sekitar di Kuala Lumpur kelmarin. Mereka melakukan kayuhan selama lima hari dan dijangka tiba di Singapura, Jumaat ini. - Bernama
Duta Besar Amerika Syarikat ke Malaysia Joseph Y. Yun (kanan) bersama 15 kakitangan kedutaan dan ahli keluarga mereka memulakan kayuhan ke Singapura sempena Hari Alam Sekitar di Kuala Lumpur kelmarin. Mereka melakukan kayuhan selama lima hari dan dijangka tiba di Singapura, Jumaat ini. – Bernama

Yun berkata mereka memilih acara basikal bagi meningkatkan kesedaran tentang kepentingan memulihara alam sekitar dan untuk meraih pengalaman unik.

Yun dan pasukannya, yang melakukan senaman sebelum memulakan perjalanan, diberi tepukan dan kata-kata semangat oleh petugas kedutaan itu serta keluarga dan sahabat handai mereka dalam suasana penuh meriah.

Menurut kenyataan kedutaan itu, Yun dan anggota pasukannya, yang diiringi empat anggota polis trafik, menggunakan basikal sendiri dan akan singgah di enam tempat sepanjang perjalanan mereka.

Mereka akan pulang ke Kuala Lumpur sama ada dengan kereta atau penerbangan.

Sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia adalah inisiatif utama Pertubuhan Bangsa Bersatu untuk meningkatkan kesedaran dan tindakan warga dunia berhubung pemuliharaan alam sekitar.

Ia disambut di lebih 100 negara.