Duta Berkelana berangkat tiba di Beijing

Duta Berkelana berangkat tiba di Beijing

Gambar ihsan Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan

 

BEIJING, 30 Mei – Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna, Ambassador-at-Large (Duta Berkelana) di Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan berangkat tiba di Beijing semalam atas jemputan Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri Republik Rakyat China bersempena dengan perayaan ulang tahun ke-25 hubungan diplomatik antara Negara Brunei Darussalam dan Republik Rakyat China.

Keberangkatan tiba Yang Teramat Mulia di Lapangan Terbang Antarabangsa Beijing dijunjung oleh mantan Duta Besar Republik Rakyat China ke Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Min Yongnian dan isteri serta Duta Besar Brunei Darussalam ke Republik Rakyat China, Puan Yang Terutama Datin Paduka Magdalene Teo Chee Siong.

Lawatan hari kedua dimulakan dengan keberangkatan ke bandar raya Tianjin dan lawatan ke Sino-Singapore Tianjin Eco-City.

Satu sembah taklimat telah diberikan mengenai pembangunan bandar raya berkenaan yang menumpukan kepada sektor perkhidmatan dan juga menggabungkan dasar mesra alam dalam perancangan bandar raya tersebut.

Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Puteri Hajah Masna bersama Naib Datuk Bandar Tianjin.
Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Puteri Hajah Masna bersama Naib Datuk Bandar Tianjin.
Yang Teramat Mulia bersama Puan Yang Terutama Gu Xiulian.
Yang Teramat Mulia bersama Puan Yang Terutama Gu Xiulian.
Yang Teramat Mulia semasa berkenan mengadakan lawatan ke Tianjin Planning Exhibition Hall.
Yang Teramat Mulia semasa berkenan mengadakan lawatan ke Tianjin Planning Exhibition Hall.

Seterusnya, satu majlis santap tengah hari telah dihoskan oleh Naib Datuk Bandar Tianjin, Zhao Haishan di Rumah Tetamu Negara di mana kedua-dua belah pihak bertukar pandangan mengenai hubungan dua hala di antara kedua-dua negara. Lawatan diteruskan ke Tianjin Planning Exhibition Hall di mana satu taklimat mengenai pelan pembangunan menyeluruh bandar Tianjin telah disampaikan.

Di sebelah malamnya, satu santap malam telah dihoskan oleh Presiden Persatuan ASEAN-China, Puan Yang Terutama Gu Xiulian di mana kedua-dua belah pihak telah membincangkan kerjasama rakyat antara kedua-dua buah negara.

Turut mengiringi Yang Teramat Mulia ialah Yang Amat Mulia Pengiran Lela Cheteria Sahibun Najabah Pengiran Anak Haji Abdul Aziz.

ARTIKEL YANG SAMA